POLESTAR 2 FACELIFT RASMI – VARIAN RWD & AWD, KUASA CECAH 455 HP
Polestar telah pun rasmi melancarkan model facelift sedan Polestar 2 dengan membawakan penambahbaikan dari segi trenkuasa serta perubahan bersifat kosmetik.
Varian asas Polestar 2 kini dilengkapi dengan motor elektrik tunggal serba baharu (295 hp/490 Nm) dan sistem pacuan roda belakang, di mana pecutan 0-100 km/j kini sepantas 6.2 saat.
Versi dua motor elektrik pula didatangkan dengan sistem pacuan semua roda (AWD), dengan output kuasa 416 hp dan 740 Nm, serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat.
Terdapat opsyen Performance Pack yang mampu menaikkan angka kuasa kuda itu tadi kepada 469 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dipendekkan kepada 4.2 saat, serta penambahan ciri seperti brek Brembo, rim aloi unik 20 inci dan peredam Öhlins Dual Flow Valve.
Dari segi luaran, Polestar 2 kini membawakan rekaan jeriji tertutup dengan kebanyakan penderia ADAS dimuatkan pada bahagian yang dinamakan sebagai SmartZone.
Terdapat pek bateri baharu yang dilengkapkan pada Polestar 2, di mana bateri 82 kWh itu kini menyokong pengecasan pantas 205 kW, dan mampu menawarkan jarak sehingga 482 km (data EPA).
Sementara versi AWD mengekalkan pek bateri 78 kWh dengan jarak gerak dipertingkatkan kepada 435 km, atau 34 km lebih jauh berbanding penawaran terdahulu.
Di Eropah, Polestar 2 2024 dijual pada harga bermula dari €50,190 (RM233,720) sehingga €64,690 (RM301,242) untuk versi AWD Long Range yang dilengkapi Performance Pack.