PELANGGAN TESLA BUAT MOGOK LAPAR. TIDAK PUAS HATI KUALITI KERETA
Seramai 17 pemilik kereta Tesla di Norway melakukan mogok lapar kerana tidak berpuas hati dengan kualiti jenama itu.
Mogok lapar itu berlaku bertujuan untuk membuat aduan mengenai masalah yang ada pada kereta Tesla mereka. Antara masalah yang disebutkan adalah seperti kereta tidak dapat dihidupkan ketika cuaca sejuk dan pintu tidak dapat dibuka. Selain aduan yang lebih umum seperti isu tempat duduk dan skrin paparan.
“Kami percaya bahawa jika Elon Musk dimaklumkan tentang masalah ini, dia akan menyelesaikannya,” tulis kumpulan itu di laman web.
Selain masalah di atas, laman web tersebut turut menyenaraikan isu lain seperti masalah pengecasan, hayat bateri yang rendah dan stesen pengecasan baharu tidak sesuai dengan kenderaan lama, walaupun dijanjikan dengan pengecasan secara percuma seumur hidup.
Pemilik juga mendakwa masalah tersebut tidak dapat diselesaikan di pusat servis Tesla. Manakala yang lain tidak dijawab oleh perkhidmatan pelanggan Tesla atau perlu menunggu untuk jangka masa yang lama di telefon.
Tidak hanya di Norway, aduan turut datang dari negara-negara lain. Antara yang dinyatakan adalah cermin kereta mereka pecah tanpa sebab yang jelas, keretakan pada komponen struktur dan bampar jatuh ketika hujan.
Mogok lapar itu dibuat untuk menarik perhatian Tesla kerana ini adalah demi kepentingan Tesla sendiri yang kini menguasai pasaran EV. Tetapi, jika terlalu ramai mengalami masalah seperti ini, tidak mustahil jenama lain akan mengambil alih kedudukan Tesla di pasaran tersebut.