Artikel Pilihan

PENEMUAN TERBARU: IBM BERJAYA CIPTA BATERI LEBIH BAIK DARI LITHIUM ION, BEBAS PENCEMARAN

IBM Research kini sedang menempa sejarah dalam menghasilkan bateri teknologi baharu. Penemuan ini mungkin membantu menghapuskan keperluan penggunaan bahan logam dalam penghasilan bateri sekaligus mengurangkan penggunaan bahan mentah tersebut sebagai salah satu elemen dalam penghasilannya.

Disebabkan bateri merupakan satu alternatif penting yang digunakan pada kenderaan sehinggalah kepada grid tenaga pintar, satu daripada kebimbangan industri ialah jika ia mampu dihasilkan dalam jangkamasa yang panjang dan berterusan.

Kebanyakan bateri menggunakan bahan-bahan logam seperti nikel dan kobalt yang memang mengancam kesihatan manusia dan menjejaskan alam sekitar. Kobalt contohnya berasal dari Afrika Selatan dan industry ini menerima kritikan hebat kerana kecuaian dan amalan yang tidak menepati piawaian.

Kini dengan menggunakan tiga bahan baru dan belum pernah digabungkan sebelum ini untuk menghasilkan bateri, pihak IBM telah membuat penemuan baru dalam menghasilkan bateri tanpa menggunakan bahan logam dan sekian lama mengundang pelbagai kontroversi.

Bahan utama untuk bateri ini dikatakan diekstrak daripada air laut sekaligus membolehkan proses mendapatkannya adalah lebih kurang berisiko berbanding proses perlombongan sebelum ini.

Selain proses penghasilannya, satu lagi perkara menarik tentang bateri baru ini ialah dari segi prestasinya. Dalam ujian yang dijalankan, ia didapati berfungsi lebih baik daripada bateri lithium ion yang digunakan sekarang. Antara kelebihan bateri baru ini ialah ia lebih menjimatkan kos, masa cas semula lebih pantas, lebih berkuasa dengan tahap efisiensi tenaga yang tinggi selain tidak mudah terbakar.

Penemuan baru ini mungkin akan menjadi pemangkin kepada penghasilan kereta elektrik yang lebih baik berikutan sifat bateri baru ini yang tidak mudah terbakar, berkuasa dan mempunyai tempoh cas semula yang singkat.

Ujian yang dijalankan menunjukkan yang bateri ni cuma memerlukan 5 minit masa cas semula untuk memenuhkan 80 peratus kuasa bateri. Memang laju tu dan bila digabungkan dengan kos pembuatan yang murah, impian untuk memiliki kereta elektrik sepenuhnya mungkin bukan lagi satu angan-angan.

Malah dengan bateri baru yang lebih berkuasa, industry pengangkutan udara mungkin akan turut berkembang dengan lebih pesat. Malah disebabkan sifatnya yang tahan lama, bateri baru ini memang sesuai untuk kegunaan grid-grid tenaga pintar yang memang mementingkan komponen yang tahan lama dan stabil.

Bagi memastikan projek bateri baru ini mencapai kejayaan, pihak IBM Research telah bekerjasama dengan Mercedes-Benz Research and Development North America, Central Glass, pembekal cecair bateri terkemuka dunia dan Sidus, pengeluar bateri terkemuka untuk menghasilkan bateri generasi baru yang lebih mesra alam sekitar. Walaupun rancangan untuk pengeluaran bateri ini secara besar-besaran masih dalam peringkat kajian, adalah menjadi harapan semua agar bateri baru ini menjadi kenyataan dalam jangka masa yang terdekat.

Google ads
Back to top button