
PEKERJA FORD AKHIRNYA BUKA MULUT. TRANSMISI KLAC BERKEMBAR POWERSHIFT MEMANG ADA MASALAH
Mereka tahu perkara sebenar, tetapi terus mendiamkan diri. Namun, rahsia itu bukan lagi rahsia dalam jabatan kejuruteraan, pembangunan produk, penyelidikan, reka bentuk atau pengilangan di Ford Motor Co., jelas tujuh orang pekerja serta bekas kakitangan Ford.
Semuanya bertanggungjawab dalam membangun serta melancarkan model Fiesta dan Focus yang terkenal dengan masalah kotak gear automatiknya.
Ditanya sama ada Ford mengabaikan amaran awal daripada pakar-pakar dalamannya, Ford menyatakan kenderaan adalah selamat ketika ia diperkenalkan selepas menjalani ujian ketat sepanjang proses pembangunan.
Malah, ia masih selamat hingga ke hari ini selepas lebih sedekad di atas jalan dan melibatkan perbatuan berbilion kilometer di seluruh dunia.

“Kami diberitahu supaya jangan jadi pembangkang. Jika bertanya soalan, anda akan dituduh sebagai mereka yang suka melawan. Jadi, anda hanya boleh ikut dan berdoa ia dapat berfungsi dengan baik.
“Tetapi, anda tidak boleh melawan hukum fizik. Dari segi mekanikal, transmisi ini memang bermasalah,” jelas seorang jurutera Ford.
Jurutera tersebut sebenarnya merujuk kepada transmisi klac berkembar DPS6 “PowerShift” yang digunakan pada dua juta unit Focus dan Fiesta. Transmisi itu kini sedang disiasat sebagai satu kes penipuan.
Punca masalah itu ialah keputusan Ford untuk menggunakan teknologi klac kering pada transmisinya.
“Kenapa anda pilih klac kering? Coefficient geseran adalah tidak konsisten dan ia menimbulkan masalah. Masalahnya ini adalah projek kesayangan seseorang. Orang lain takut untuk membantah.
“Idea ini sepatutnya diketepikan sejak awal lagi. Tiada siapa tahu bagaimana ia boleh diimplementasikan pada model Focus dan Fiesta. Malangnya mereka sedar ketika segalanya sudah terlambat dan kos untuk membaiki menjadi tersangat mahal,” jelas seorang jurutera.
Transmisi itu murah untuk dihasilkan dan dipasang. Memandangkan DPS6 menggunakan teknologi klac kering, jadi ia tidak dapat ‘menyejukkan dirinya sendiri’ dan pasti rosak apabila digunakan dalam dunia sebenar.
Transmisi itu diperkenalkan pada model Fiesta tahun 2011 dan Focus buatan tahun 2012. Ia digunakan sehingga tahun 2018 bagi model Focus dan Fiesta (2019).

Dari Fabruari hingga November, Free Press telah menemuramah jurutera yang terlibat dalam pembangunan produk dan bertanggungjawab memasarkan kereta berkenaan.
Mereka mendedahkan masalah transmisi yang serius dikenal pasti sebelum kereta dikilangkan dan dijual. Masalah itu dikesan beberapa tahun sebelum ia diproduksi. Sewaktu pembangunannya, ujian thermal menunjukkan had transmisi tersebut dan Ford mula membangunkan perisian sebagai usaha menangani masalah itu.
Satu laporan yang disiarkan oleh Free Press pada Julai lalu mendapati Ford tahu bahawa transmisi DPS6 mudah rosak, tetapi ia tetap mahu memasangnya dan menolak cadangan untuk berhenti menggunakannya.
Selepas tersiarnya laporan “Out of Gear”, orang dalam Ford tampil menunjukkan dokumen yang belum pernah dilihat sebelum ini tentang pembangunan kereta dan usaha syarikat untuk menutup masalah tersebut.
Sumber dan dokumen itu mendedahkan bahawa perasaan takut membuatkan mereka terpaksa berdiam diri. Malah dalam satu kes, penilaian risiko klac dan unit kawalan DPS6 dinafikan atas alasan politik.
Kegagalan komponen itu membuatkan Ford terpaksa berdepan dengan kos jaminan dan beribu-ribu saman bernilai AS$3 bilion (RM12 bilion). Kerugian semakin bertambah apabila pelanggan terus melaporkan masalah.

Ford juga melanjutan jaminan klac ke atas 600,000 unit kereta yang tidak terlibat dalam jaminan pada tahun 2014. Pada Oktober lalu, Ford mengakui jaminan lanjutan itu menjadi faktor kenapa keuntungan syarikat semakin merosot.
Bukan itu sahaja, Jabatan Keadilan Amerika sudah membuka siasatan melibatkan transmisi sama bermula tahun 2010. Awal tahun lalu, ia telah mengeluarkan sapina ke atas material untuk mengetahui sama ada Ford tahu transmisi itu rosak serta tidak boleh dibaiki dan sama ada Ford menipu pemeriksa keselamatan persekutuan AS.
Sejumlah jurutera dan individu yang terlibat dalam projek Fiesta dan Focus memberitahu usaha mereka untuk bersuara ketika kereta itu dibangunkan tidak berhasil. Mereka bimbang hilang kerja ketika zaman kemelesetan ekonomi yang menyaksikan General Motors dan Chrysler hampir bankrap.
Fiesta dan Focus diperkenalkan ketika harga bahan api semakin naik dan rakyat Amerika ingin pulih daripada kemelesetan ekonomi. Kereta itu didakwa mampu menawarkan penjimatan dan pecutan seperti transmisi manual.
Tetapi pada hari ini, beribu-ribu pengguna mengemukakan saman kerana mereka terpaksa kerap menghantar kereta ke bengkel. Kebanyakan kereta itu bergegar dengan kuat, tiba-tiba menukar gear, pecutan tidak lancar dan tersengguk-sengguk secara tidak terkawal.
Transmisi itu juga direka untuk masuk ke gear N apabila masalah-masalah tertentu berlaku. Ini menyebabkan kereta hilang kuasa dan membahayakan nyawa pengguna.
Lebih 4,300 rungutan dengan 50 kecederaan dilaporkan kepada Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA). Malangya, Ford dan NHTSA menyatakan kereta tersebut tidak memberikan risiko dan ia tidak pernah dipanggil semula untuk membaiki transmisinya.
Ford mendakwa saman itu adalah kerja peguam yang tamak. Ia juga mendakwa laporan Free Press didorong oleh peguam, sedangkan semua maklumat penting diperoleh daripada whistleblower dan ratusan pengguna di seluruh AS.
Sehingga kini, sekitar 1.5 juta Fiesta dan Ford telah didaftarkan di AS.
sumber: Detroit Free Press