NISSAN TUKAR VAN MEREKA KEPADA BILIK HOTEL MEWAH – TAK PERLU SUSAH PAYAH CARI HOTEL DAH
Nissan Caravan (Urvan) sudah memasuki generasi keenam dan ia masih mengekalkan rekabentuk yang sama sejak 15 tahun lepas. Ia bagaimana pun masih lagi laris di pasaran da merupakan pesaing terdekat kepada Toyota HiAce. Kini ia mempunyai kelebihan yang dinamakan MyRoom yang menggabungkan rekabentuk luaran Spartan dan dalaman yang direka dengan bijak.
MyRoom dibina atas asas kerangka badan Nissan Caravan dan mempunyai semua ciri standard. Bahagian luarannya hampir menyerupai Caravan biasa yang menampilkan bumper yang tidak dicat dan rim besi berwarna hitam. Memang nampak macam van hantar barang biasa. Tapi berbeza sekali dengan bahagian dalaman. Luar macam setinggan dalam macam kondo kata generasi sekarang.
Ini sebenarnya bukan kali pertama Nissan tawarkan kemasan ala camper pada Caravan ni tapi kali ini mereka tambah lagi tema Deep Forest untuk pilihan warna dalaman. Tapi warna yang paling popular di kalangan pembeli ialah Sand Beige dengan kemasan bumbung berwarna putih.
Bila kami cakap dalaman van ini macam kondo ia sebenarnya memang tak tipu. Sekali tengok dan macam hotel designer. Semuanya dilapisi dengan kemasan kayu dan perabut modular yang membentuk ruang tamu, bilik tidur ataupun bilik rehat mengikut keperluan anda. Tak boleh bayang yang sebelum ini ia cuma sebuah van kargo biasa.
Tingkap-tingkapnya dilapisi bidai dan langsir untuk privasi. Tempat duduk barisan kedua boleh dilipat menjadi kerusi rehat yang selesa. Terdapat juga meja mudah dan boleh digerakkan dengan mudah. Anda boleh pilih sama ada mahukan versi katil lipat ataupun lift-up bed dengan kemasan fabrik herringbone yang lembut.
Dah namanya camper tentulah ia perlukan sumber bekalan elektrik dalaman. Tugas itu disandang oleh beberapa pek bateri mudah alih yang dikitar semula dari bateri Nissan Leaf. Kuasanya mencukupi untuk kegunaan peralatan elektrik walaupun ketika Caravan ini berada di luar kawasan bandar.
Terdapat dua pilihan enjin. Enjin petrol NA 2.0 liter QR20DE dengan 129 hp kuasa ataupun enjin disel 2.5 liter 4N16 yang dibekalkan oleh Mitsubishi yang mampu hasilkan sekitar 130 hp kuasa. Kalau nak tork lebih baik pilih versi disel je.
Kedua pilihan enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh kelajuan. Versi petrol hanya ditawarkan dengan pacuan roda belakang manakala versi disel turut mempunyai pilihan 4×4.
Best kan kalau dapat beli van macam ni yang dah standard dari kilang. Tapi itulah, ia hanya dihasilkan untuk pasaran Jepun sahaja. Tak aci betul.