Buletin

PERODUA BANTU PELANGGAN TERJEJAS BANJIR. REBAT KHIDMAT TUNDA, DISKAUN ALAT GANTI, PEMERIKSAAN PERCUMA

Perodua menawarkan bantuan, termasuk rebat perkhidmatan tunda, diskaun ke atas alat-alat ganti terpilih dan pemeriksaan percuma kepada semua pemilik kenderaan Perodua yang terjejas akibat banjir.

Setakat 19 Disember 2021, beberapa bahagian di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang terkesan akibat banjir.

“Para pelanggan kami amat penting buat kami. Jadi, perkhidmatan tambah nilai ini disediakan bagi membantu meringankan sedikit beban yang dihadapi oleh mereka semasa bencana ini,” kata Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Walaupun beberapa pusat servis Perodua turut terjejas akibat banjir, para pelanggan amat dialu-alukan untuk merujuk mana-mana cawangan perkhidmatan Perodua yang  lain di seluruh Malaysia untuk mendapatkan bantuan.

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk menyambung semula operasi kami (di kawasan terjejas) secepat mungkin,” tambah beliau lagi.

Mengenai bantuan yang diberikan, pelanggan Perodua boleh membuat tuntutan untuk perkhidmatan menunda kenderaan maksimum sehingga RM100 di pusat servis Perodua berhampiran mengikut kepada terma dan syarat.

Perodua turut menawarkan potongan 20 peratus untuk alat-alat ganti terpilih kepada pemilik Perodua yang kenderaan mereka rosak akibat banjir.

“Alat-alat ganti tulen kami disertakan dengan jaminan pengeluar. Kami minta para pelanggan supaya tidak menggunakan sebarang alat ganti tiruan kerana ia boleh menjejaskan prestasi kenderaan mereka,” kata Zainal.

Alat-alat ganti tersebut merangkumi semua barangan elektronik, gasket baik pulih enjin, tempat duduk kenderaan, kemasan pintu dan permaidani.

Pelanggan Perodua yang kenderaan mereka rosak akibat banjir digalakkan untuk menghubungi talian perkhidmatan pelanggan bebas tol Perodua di 1-800-88-5555 untuk bantuan menunda (tertakluk kepada terma dan syarat). – kredit foto: Utusan Online

Google ads
Back to top button