Buletin

PETRON MALAYSIA CATAT PEROLEHAN BERSIH RM42 JUTA Q2 2021. PEMULIHAN HARGA MINYAK GLOBAL, JUALAN DOMESTIK LEBIH TINGGI

Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) melaporkan pendapatan bersih RM42 juta pada suku kedua 2021, sekali gus ‘menterbalikkan’ kerugian bersih RM69 juta yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu. Perkembangan itu didorong oleh pemulihan harga minyak global dan jualan domestik yang lebih tinggi.

Purata Dated Brent suku kedua juga meningkat lebih dua kali ganda daripada AS$29 setong pada suku yang sama tahun lalu, ketika harga minyak menjunam di waktu permulaan pandemik.

Harga minyak mentah Dated Brent terus mencatat aliran menaik dengan purata suku kedua mencecah AS$69 setong, peningkatan 13 peratus daripada AS$61 pada suku pertama. Ini disebabkan pengeluar OPEC+ mengekalkan pematuhan pengurangan bekalan, di samping pemulihan permintaan yang beransur pulih dalam ekonomi utama. 

Syarikat mencatatkan hasil RM2 bilion pada suku kedua, dua kali ganda daripada RM1 bilion yang diperoleh dalam tempoh sama pada tahun 2020, didorong oleh kenaikan harga minyak dan jumlah jualan. 

Walaupun pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) pada suku kedua, jumlah jualan meningkat sebanyak 4 peratus dalam tempoh  sama berbanding tahun lalu, berikutan lebih banyak sektor dan perkhidmatan bekeperluan dibenarkan beroperasi semasa PKPP.

PMRMB menjana untung kasar RM113 juta pada suku tersebut, pembalikan sepenuhnya daripada kerugian kasar RM68 juta pada suku yang sama tahun lalu apabila harga menjunam pada tahap yang belum pernah berlaku. Perolehan pegangan inventori daripada peningkatan harga dan pemulihan secara beransur-ansur dalam penjualan domestik menjadi penyumbang utama kepada peningkatan margin.

Untuk separuh pertama tahun ini, syarikat meraih pendapatan bersih sebanyak RM145 juta yang merupakan pembalikan daripada kerugian RM153 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Kami mampu mengekalkan prestasi positif di atas ketahanan dan daya saing kewangan syarikat, serta peningkatan keseluruhan dalam industri minyak global. 

“Kami akan terus berusaha untuk memperkukuhkan inisiatif pemulihan jualan, langkah rasionalisasi kos dan usaha pengurusan risiko yang berhemah untuk mengekalkan momentum ini, walaupun terdapat ancaman wabak yang berterusan,” kata Pengerusi PMRMB, Ramon S. Ang.

Dalam perkembangan berkaitan, Petron akan terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terjejas. Syarikat bekerjasama dengan lebih 190 pengusaha stesen minyak untuk inisiatif Bank Makanan dan Meja Komuniti. 

Pada Jun, Petron melancarkan program sumbangan “PetronMyKasih Jom Derma” yang membolehkan pemegang kad Petron Miles (PMiles) menyumbang mata ganjaran mereka untuk tujuan amal. Dana yang dikumpulkan akan disalurkan melalui Yayasan MyKasih, sebuah organisasi yang diluluskan oleh kerajaan untuk membantu keluarga B40.

Google ads
Back to top button