Buletin

GR SUPRA 2021 DILENGKAPI CIRI APPLE CARPLAY. 7 PILIHAN WARNA, BERMULA RM590K

UMW Toyota Motor baru-baru ini memperkenalkan GR Supra yang telah dinaik taraf ke pasaran Malaysia. 

Toyota GR Supra varian 3.0 liter kini hadir dengan ciri Apple CarPlay yang melengkapkan lagi ciri-ciri sedia ada seperti skrin sentuh 8.8-inci dengan kawalan touch pad, navigasi binaan dalam, USB dan Bluetooth. GR Supra juga dilengkapi sistem audio JBL HiFi Surround Sound dengan 12 unit pembesar suara.

Ini merupakan kemas kini kedua yang dilakukan terhadap GR Supra selepas naik taraf prestasi yang diperkenalkan pada Julai 2020. Naik taraf prestasi yang dilakukan itu melibatkan enjin turbo enam silinder sebaris yang mampu menjana 388PS di antara 5,800 dan 6,500 rpm, naik sebanyak 14 peratus. 

Kuasa tork pula kekal 500 Nm, tetapi hadir dalam julat yang lebih luas di antara 1,800rpm dan 5,000rpm berbanding 1,600rpm hingga 4,500 rpm sebelumnya.

Jurutera Toyota meningkatkan janaan kuasa menerusi talaan semula dan menambah manifold ekzos dua cabang dengan enam port (berbanding hanya dua port), sekali gus menambah baik aspek pengurusan haba enjin. Rekaan baru untuk piston pula telah mengurangkan nisbah mampatan enjin dari 11:1 kepada 10.2:1.

Semua penambahbaikan itu membolehkan GR Supra bertransmisi automatik 8 kelajuan memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 4.1 saat, 0.2 saat lebih pantas berbanding 4.3 saat sebelum ini.

Casis GR Supra juga ditala dengan tambahan Performance Rod untuk meningkatkan ketahanan dan memberi lebih kestabilan ketika di selekoh.

Keselamatan kekal menjadi keutamaan Toyota dan GR Supra dipasang dengan pelbagai sistem aktif. Ini termasuklah ciri Amaran Perlanggaran Depan, Amaran Penukaran Lorong, Kawalan Melayar Adaptif (semua kelajuan), Sistem Lampu Tinggi dan Bantuan Penanda Jalan.

Ciri-ciri lain termasuklah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TRC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Peninjau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Di Belakang, Sensor Parkir depan dan belakang, kamera undur dan Amaran Perlanggaran Belakang.

GR Supra ditawarkan dalam tujuh warna menarik iaitu putih, perek, kelabu, hitam, merah, kuning dan kelabu mayye. 

Dijual pada harga bermula RM589,987 (dengan 50% pengecualian SST hingga 31 Disember 2021 dan tidak termasuk insurans), GR Supra 2021 boleh ditempah dari bilik pameran rasmi Toyota GR Garage terpilih seluruh negara.

Maklumat lanjut, sila layari laman web: toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol Toyota di 1-800-8-TOYOTA (869682).

Google ads
Back to top button