Buletin

PINZGAUER – OFF ROADER YANG DIBURU PEMINAT 4X4

Tanggal 6 Jun 1944 dunia menyaksikan tentera berikat yang diketuai oleh Amerika dan sekutunya termasuk United Kingdom, Canada, Australia, Norway, Poland, dan kerajaan buangan Perancis membuka satu medan perang baru dalam Perang Dunia Kedua apabila mereka mendarat di Pantai Normandy.

Pantai tersebut telah diperkukuhkan dengan Dinding Atlantik oleh Jeneral Erwin Rommel akhirnya tumbang pada ketumbukan tentera berikat setelah diasak dengan bertalu talu.

Dalam pelbagai unit mekanisme yang digunakan oleh tentera berikat termasuklah Jeep Willy MB 4×4 yang digunakan secara meluas dalam aksi di “Western Front”. Jeep digunakan sebagai kenderaan pemantauan (recon mission), mengangkut komander, ambulans dan amunisi

Sejarah negara kita tidak kurang hebatnya jika di dalam konflik berdarah yang bermula dari 1948 sehinggalah perjanjian damai 1989 ditandatangani di Hadyai.

Sepanjang tempoh konflik berdarah ini menyaksikan kerajaan persekutuan Malaysia yang baru ditubuhkan pada 1963 berbelanja dengan besar bagi memodenkan sistem pertahanan dan persenjataan negara melalui perolehan aset dari luar negara.

Malaysia yang terletak di garisan Khatulistiwa mengalami cuaca tropika iaitu panas dan lembap sepanjang tahun memberikan cabaran besar pada Angkatan Tentera Malaysia bagi menggerakkan aset pertahanan ke kawasan hutan di mana pihak insurgensi bersembunyi

Bagi memenuhi objektif di atas, pihak ATM telah memperolehi kenderaan utiliti ringan dengan keupayaan meredah hutan hujan tropika Malaysia bagi menggantikan aset lama yang telah tamat tempoh penggunaan.

Pinzgauer yang dipilih oleh pihak ATM datang dengan 2 versi iaitu pacuan empat roda 4X4 (Model 716) dan juga pacuan 6 roda (Model 718) yang berfungsi untuk membawa anggota keselamatan, aset, amunisi, mortar dan juga menunda Meriam Howitzer meredah hutan belantara.

Spesifikasi Pinzagauer

Di negara asalnya iaitu Austria, Pinzgauer merujuk kepada sejenis baka kuda yang ada di sana. Pinzgauer merupakan sebuah kenderaan mobiliti yang dihasilkan oleh syarikat Steyr-Daimler-Puch yang berpAngkalan di Austria.

Prototaip pertama di hasilkan pada tahun 1965 dan selepas kajian dan pembangunan selama dua tahun, ia mula dihasilkan pada tahun 1971.

Rekabentuk cesi dan enjin diketuai oleh Erich Ledwinka. Pasukan anggota keselamatan seluruh dunia pada ketika ini mencari pengganti Land Rover mula memesan Pinzgauer dalam kuantiti besar termasuklah Arab Saudi, Austria, United Kingdom, New Zealand, Switzerland, Austria dan juga Amerika Syarikat.

Enjin Pinzgauer dibekalkan Steyr, dengan pilihan 4 silinder petrol atau enjin diesel 5 atau 6 silinder 88 kuasa kuda. Enjin diesel dengan sesaran 2500cc ini dipadankan dengan kotak gear 5 kelajuan manual atau empat kelajuan automatik.

Enjin versi pertama ini menggunakan suapan karburetor berkembar bagi membekalkan bahan api kepada enjin dan bagi memudahkan anggota keselamatan menyelenggara Pinzgauer ia juga datang dengan enjin sejukan udara. Cuma kelemahan enjin ini ialah ia sedikit bising berbanding dengan enjin sejukan cecair.

Untuk versi kedua dan seterusnya, enjin Pinzgauer telah dinaiktaraf dengan beberapa pembaharuan termasuklah enjin yang dibekalkan oleh Volkswagen dengan sesaran 2400cc 6 silinder turbodiesel, enjin 2500cc 5 silinder turbodiesel yang menghasilkan kuasa 136 kuasa kuda dan juga enjin Steyr 3200cc 6 silinder turbodiesel yang menghasilkan 194 kuasa kuda.

Walaupun ia tidak boleh dipandu laju kerana halaju maksimanya hanya pada 100km/j, namun keistimewaan Pinzgauer ialah pada keupayaan membawa dan menunda beban.

Kapasiti muatan beban yang boleh dibawa oleh Pinzgauer ialah 1000kg untuk varian 4×4 dan 1500kg bagi varian 6×6. Trak ini juga boleh menunda beban seberat 5000kg pada bahagian belakang menjadikan ia pilihan yang sesuai untuk kegunaan logistik sekiranya diperlukan.

Malah ia boleh mengangkut 10 anggota unit keselamatan dalam satu satu masa berbanding dengan Humvee. Dengan tangki bahan api sebesar 125 liter untuk kegunaan tentera, jarak operasi Pinzgauer mencecah sehingga 700km untuk sekali isian diesel.

Cesi kenderaan ini menggunakan rekaan “Central Tube” dimana kerangka ini bertindak sebagai perumah untuk menempatkan sistem penyampaian kuasa.

Seperti biasa, enjin dan kotak gear dipasang pada bahagian belakang gandar depan dan kuasa enjin dihantar ke roda belakang melalui aci propeller yang dipasang dalam cesi “Central Tube”. Cangkuk penunda di pasang pada depan dan belakang cesi selain dari Kabin untuk penumpang atau kargo dipasang di atas cesi.

Cesi ini akan disokong oleh gandar depan dan gandar belakang yang menerima kuasa dari aci propeller dan mempunyai gear pembahagi yang boleh diaktifkan dengan kuasa elektrik.

Gandar ini pula akan digantung pada spring lingkaran untuk model 4×4. Sistem ini berlainan dengan model 6×6 yang menggunakan spring dedaun untuk gandar belakang.

Kelebihan menggunakan cesi “Central Tube” yang digabungkan dengan gandar ialah berat kenderaan disebarkan dengan sekata bagi menambah kestabilan kenderaan serta pusat graviti yang rendah.

Dimensi

Model 4×4 mempunyai Panjang keseluruhan 4175mm, lebar 1760mm dan juga ketinggian 2050mm. Jarak kelegaan bumi ialah 335mm membantu Pinzgauer meredah permukaan jalan yang lasak serta ia boleh berakasi di dalam air dengan kedalaman maksimum 700mm.

Model 6×6 memiliki Panjang berbeza iaitu 4955 mm kerana ia memuatkan sepasang lagi tayar pada gandar tengah. Kedua dua model mempunyai sudut depan dan belakang 45 darjah memudahkan ia mendaki atau menuruni bukit yang curam beserta dengan “overhang” yang pendek.

Namun rupa bentuk Pinzgauer yang kurang menarik menyebabkan ia digelar dengan nama “piglet” semasa ia digunakan dalam unit keselamatan. Saya rasa nama tersebut sesuai digunakan untuk pemandu yang selalu memotong di laluan kecemasan lebuh raya PLUS sesuka hati

Kegunaan

Selain daripada berfungsi sebagai tulang belakang untuk logistik tentera darat semasa darurat iaitu mengangkut mortar, meriam dan juga anggota keselamatan Pinzgauer juga boleh diubah suai mengikut keperluan semasa.

Ia boleh dipasang dengan Multi Purpose Machine Gun yang bertindak sebagai kenderaan taktikal ringan.

Pihak tentera British memiliki versi Vector iaitu Pinzgauer yang telah dinaiktaraf dengan perisai untuk digunakan sebagai Protected Patrol Vehicle.

Unit ini digunakan di Afghanistan namun terpaksa dihentikan berikutan keupayaan pihak penentang yang berjaya memusnahkan Pinzgauer dengan menggunakan Improvised Explosive Device (Peranti Letupan Ubahsuai).

Pinzgauer juga bertindak sebagai unit sokongan Stesen Taktikal Permukaan bagi sistem radar Raytheon Systems Limited Airborne Standoff Radar (ASTOR).

Namun biasanya unit keselamatan dunia biasa menggunakan Pinzgauer sebagai kenderaan sokongan dan bukan kenderaan serangan taktikal.

Secara tipikal ia akan digunakan sebagai kenderaan pusat pemerintah, ambulans, kembalik dan juga kenderaan penunda. Untuk kegunaan am, ia juga digunakan secara meluas sebagai kereta bomba, kenderaan penyelamat, van pelancong untuk pelancongan eko, dan juga digunakan sebagai kenderaan rasmi untuk syarikat cari gali minyak.

Malah beberapa pasukan perlumbaan mengubahsuai Pinzgauer untuk digunakan sebagai platform perlumbaan di Rali Dakar

Ssetelah berkhidmat Bersama sama dengan pasukan keselamatan Malaysia selama 20 tahun, pihak kerajaan mula menggantikan Pinzgauer secara berperingkat peringkat dengan lori trak Handalan I dan juga Handalan II.

Secara asasnya Handalan ialah sebuah lori Isuzu yang dilengkapkan dengan 40 peratus kandungan tempatan dan mampu membawa beban 4800kg di atas jalan bertar dan 3000kg atas jalan tidak bertar

Unit Terpakai

Setelah Pinzgauer dinyahtauliahkan oleh tentera, unit ini telah dijual secara tender dan pukal kepada orang awam. Carian di laman sesawang mendapati unit terpakai ini telah mula ditawarkan kepada umum pada tahun 2011 dengan harga sekitar RM 28,000 ke RM 30,000 seunit bergantung pada varian, keadaan fizikal semasa dan juga dokumentasi.

Namun setelah dibaik pulih dan proses restorasi, harga jualannya murah sedikit dari kapal layar Equanimity. Harganya boleh boleh mencecah antara RM80,000 sehingga RM120,000 bergantung pada tahun, varian, dokumentasi dan juga modifikasi yang telah dibuat.

Antara faktor yang menjadikan Pinzgauer terpakai ini buruan peminat 4×4 dan 6×6 ini ialah sentimental nilai sejarah, keunikan rekabentuk Pinzgauer sendiri dan kelasakan kenderaan ini merentas hutan belantara.

Sebenarnya kalau beli dan modified buat camper van pun menarik juga. Cuma pemilik kenderaan ini dilarang mengecat kenderaan ini dengan warna samaran hijau tentera dan meletakkan hiasan yang bercirikan senjata.

Pastinya perkara terakhir yang diinginkan oleh pemilik ialah bermalam di lokap polis.

Selamat memburu wahai peminat Pinzgauer sekalian!

Google ads
Back to top button