Buletin

ZEEKR 7X 2027 TAMPIL DENGAN BATERI 85KWH DAN KABIN LEBIH PREMIUM, ANGGARAN HARGA DARI RM137K

Zeekr dilaporkan bakal memperkenalkan versi dipertingkatkan bagi SUV elektrik Zeekr 7X di China dalam masa terdekat, dengan beberapa pembaharuan melibatkan sistem bateri, kelengkapan kabin serta pilihan warna baharu.

Model tahun 2027 itu sebelum ini diperkenalkan secara awal oleh pengeluar berkenaan pada September lalu dan dijadualkan memasuki pasaran China pada suku keempat 2026.

Berdasarkan pemerhatian terbaharu pada 3 November, unit Zeekr 7X versi kemas kini sudah mula kelihatan di premis pengedar untuk tujuan pameran.

Dari segi luaran, perubahan yang dibawakan tidak begitu ketara apabila reka bentuk asal masih dikekalkan. Bagaimanapun, model baharu itu menerima dua pilihan warna badan tambahan iaitu ungu dan keemasan.

Antara elemen yang dikekalkan termasuk paparan interaktif Zeekr Stargate di bahagian hadapan, pemegang pintu tersembunyi serta rekaan lampu belakang dengan dua jalur nipis.

Perubahan lebih ketara diberikan pada ruang kabin menerusi fungsi tempat duduk ‘zero-gravity’ untuk pemandu dan penumpang hadapan. Kedua-dua tempat duduk turut dilengkapi sokongan kaki berkuasa elektrik serta kemasan upholsteri baharu.

Sistem infotainmen turut dinaik taraf kepada Zeekr OS 7.5, selain penggunaan unit kawalan tengah yang diperbaharui. Bagi meningkatkan keselesaan pemanduan, SUV elektrik itu turut dilengkapi sistem suspensi peredam elektromagnetik CDC.

Dari aspek trenkuasa, versi kemas kini ini akan menggunakan pek bateri berkapasiti 85kWh. Zeekr sebelum ini mendakwa bateri berkenaan mampu mencapai jangka hayat sehingga 1 juta kilometer atau 3,500 kitaran pengecasan.

Walaupun spesifikasi penuh masih belum diumumkan, dokumen permohonan lesen jualan di China sebelum ini mendedahkan model berkenaan berkemungkinan menggunakan motor elektrik tunggal dengan kuasa 370kW (496hp).

Zeekr 7X mempunyai ukuran panjang 4,825mm, lebar 1,930mm dan tinggi 1,666mm, manakala jarak roda pula mencapai 2,925mm.

Bagi varian pacuan semua roda (AWD), model itu dijangka mengekalkan bateri NMC ternari berkapasiti 103kWh bersama dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan 585kW (784hp).

Di China, harga semasa Zeekr 7X bermula kira-kira AS$32,250 (RM131,434) bagi varian Max dengan bateri 75kWh, manakala varian Ultra dengan bateri 103kWh ditawarkan pada harga AS$37,860 (RM154,298).

Versi baharu dengan bateri 85kWh pula dijangka ditawarkan pada harga sekitar AS$33,650 (RM137,140).

Kehadiran versi kemas kini ini bakal menyaksikan Zeekr 7X terus bersaing dalam segmen SUV elektrik premium di China, termasuk menentang Tesla Model Y, Li Auto i6 dan Xiaomi YU7.

Google ads
Back to top button