Buletin

BYD DENZA N9 EV BAKAL DILANCARKAN DI CHINA – TAWAR KUASA HINGGA 1,194HP

BYD bakal memperluaskan rangkaian SUV elektriknya menerusi Denza N9 EV yang kini muncul dalam dokumen kelulusan Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT).

Model SUV bersaiz penuh itu mencuri perhatian menerusi konfigurasi tiga motor elektrik dengan kuasa gabungan mencecah 890kW (1,194hp).

Pendaftaran yang diterbitkan dalam Katalog Siri 413 itu menyenaraikan dua kod varian iaitu QCJ6530ABBEV1 dan QCJ6530ABBEV2. Kedua-duanya menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD), namun hadir dengan konfigurasi sistem brek berbeza.

Denza N9 EV menggunakan tiga motor elektrik segerak magnet kekal. Motor hadapan menghasilkan kuasa maksimum 270kW, manakala dua motor di bahagian belakang masing-masing menjana 310kW.

Gabungan ketiga-tiga motor itu menghasilkan kuasa maksimum 890kW (1,194hp), dengan kelajuan tertinggi yang disenaraikan mencecah 240km/j.

Sistem pacuan tersebut berasaskan teknologi e3 (Yisanfang) BYD yang turut digunakan pada Denza Z9 GT. Platform berkenaan menggabungkan tiga motor elektrik bebas dengan sistem stereng roda belakang.

Antara fungsi yang dikaitkan dengan teknologi ini termasuk Compass U-Turn, bantuan parkir melalui stereng roda belakang serta sistem kawalan kestabilan ketika tayar pecah pada kelajuan tinggi. Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada kesemua ciri tersebut akan ditawarkan pada versi produksi Denza N9 EV.

Dari segi dimensi, SUV elektrik ini mempunyai ukuran panjang 5,270mm, lebar 2,030mm dan tinggi 1,830mm, dengan jarak roda 3,125mm.

Berat tanpa muatan pula direkodkan antara 3,105kg hingga 3,180kg, bergantung kepada konfigurasi, manakala berat kasar kenderaan mencapai 3,760kg.

Denza N9 EV turut menampilkan beberapa perbezaan luaran berbanding versi hibrid plug-in (PHEV), termasuk bahagian hadapan tertutup, unit LiDAR yang dipasang di atas bumbung serta kamera pada sisi badan.

Antara kelengkapan pilihan yang disenaraikan ialah rim tempa bersaiz 22-inci, kemasan badan dua tona, aksen luaran hitam serta pilihan konfigurasi lima atau enam tempat duduk.

Bagi sistem brek, varian QCJ6530ABBEV1 menggunakan sistem brek bersepadu Integrated Power Brake (IPB) keluaran FinDreams. Sementara itu, satu lagi varian dilengkapi perkakasan BWA dan ESP daripada Bosch.

SUV ini menggunakan bateri jenis litium besi fosfat (LFP) yang dibekalkan Guangxi ASEAN FinDreams Battery, manakala pemasangan pek bateri dikendalikan Shenzhen BYD Auto Industry.

Bagaimanapun, dokumen MIIT masih belum mendedahkan kapasiti bateri, jarak pemanduan berdasarkan piawaian CLTC atau keupayaan pengecasannya.

Sebagai perbandingan, Denza N9 PHEV yang kini dipasarkan di China ditawarkan pada harga antara 389,800 yuan hingga 469,800 yuan (sekitar RM58,345 hingga RM70,320).

Harga dan tarikh pelancaran rasmi Denza N9 EV bagaimanapun masih belum diumumkan.

Google ads
Back to top button