Buletin

LEBIH 700 PENUNGGANG MERIAHKAN KONVOI PETRONAS SPRINTA KE MOTOGP SEPANG 2026

Lebih 700 penunggang motosikal daripada pelbagai komuniti dan jenama menyertai Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2026, sekali gus mencatatkan penyertaan tertinggi sejak acara itu diperkenalkan empat tahun lalu.

Penganjuran tahun ini menyaksikan penyertaan pelbagai kategori motosikal, bermula daripada jentera berkapasiti enjin kecil dan sederhana sehinggalah motosikal berkuasa tinggi.

Antara jenama yang mengambil bahagian termasuk Harley-Davidson, Ducati, BMW, Yamaha, Honda, Suzuki dan Kawasaki, selain pelbagai model lain.

Kepelbagaian jentera itu memperlihatkan semangat komuniti permotoran yang mampu disatukan tanpa mengira jenama, kapasiti enjin mahupun latar belakang penunggang.

Konvoi berkenaan memulakan perjalanan dari PETRONAS Cyberjaya sebelum bergerak secara berkumpulan menuju ke Litar Antarabangsa Sepang.

Pergerakan peserta turut diiringi pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi memastikan perjalanan berlangsung dengan teratur, lancar dan selamat.

Sepanjang perjalanan, aspek disiplin serta keselamatan jalan raya diberikan perhatian bagi memastikan semua peserta dapat menikmati pengalaman tunggangan dalam suasana yang terkawal.

Setibanya di litar, peserta terlebih dahulu berpeluang mengunjungi Pavilion PETRONAS untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sebelum menuju ke tempat duduk Grandstand Utama bagi menyaksikan perlumbaan MotoGP.

Memasuki tahun keempat penganjuran, Konvoi PETRONAS Sprinta terus menjadi platform untuk menghimpunkan peminat motosikal selain mengeratkan hubungan antara jenama itu dengan komuniti dua roda di Malaysia.

Peningkatan penyertaan kepada lebih 700 penunggang tahun ini turut membuktikan sambutan positif terhadap acara berkenaan, yang bukan sekadar menawarkan pengalaman berkonvoi, malah menyatukan peminat permotoran menerusi minat yang sama terhadap dunia motosikal dan sukan permotoran.

Google ads
Back to top button