Buletin

REMAJA 18 TAHUN MILIKI BMW HASIL EDAR DADAH. DITAHAN POLIS BERSAMA BAPA

Rahsia kehidupan mewah seorang remaja berusia 18 tahun dan bapanya yang bekerja sebagai penjual besi buruk di Tanah Merah terbongkar selepas mereka ditahan polis pada Rabu.

Anak beranak berusia 18 tahun dan 60 tahun itu dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, remaja itu dan bapanya ialah antara lima individu yang ditahan polis kerana dipercayai melakukan kesalahan sama.

Tiga lagi suspek dipercayai rakan mereka dalam kegiatan itu masing-masing berusia 22, 25, serta 28 tahun.

Mereka mengamalkan gaya hidup mewah dan remaja tersebut dikatakan memiliki sebuah BWM 630i M-Sport dua pintu.

Pasukan Narkotik Kelantan yang dibantu polis Tanah Merah melakukan dua serbuan berasingan pada jam 3.45 petang dan 4.30 petang. Dalam serbuan pertama, polis menahan tiga ahli kumpulan itu yang berada di tepi jalan di Kampung Tok Che Dol, Tanah Merah.

Polis turut mendapati seorang daripada suspek memegang empat paket plastik dipercayai berisi 800 pil kuda dianggarkan bernilai RM8,000.

Sejam kemudian, polis menyerbu pula sebuah rumah di alamat RPK Gual Ipoh, Tanah Merah dan menahan remaja tersebut bersama bapanya. Mereka membawa polis ke satu kawasan semak berhampiran yang menjadi tempat menyembunyikan botol mengandungi dadah dipercayai pil kuda, syabu dan heroin dianggarkan bernilai RM112,000.

Remaja tersebut mampu memiliki kereta mewah berkenaan dipercayai hasil kegiatan jual beli dadah kumpulan tersebut yang aktif di sekitar daerah Tanah Merah sejak awal tahun lalu.

“Polis juga menyita lima motosikal pelbagai jenis, dua kereta iaitu jenis Proton Satria dan Perodua MyVi serta wang tunai RM829.

“Jumlah sitaan bernilai RM 203,829. Manakala rampasan dadah berjumlah RM120,000 menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM RM323,829,” kata Sheik Azhar dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Khamis.

Ujian urin mendapati tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine. Manakala dua beranak tersebut pula negatif. Kesemua mereka mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

“Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula pada Khamis sehingga Rabu depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya lagi. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button