
SHELL CATAT KERUGIAN RM87.9 BILION PADA TAHUN 2020
Royal Dutch Shell pada Khamis mengumumkan bahawa ia mengalami kerugian sebanyak AS$21.7 bilion (RM87.9 bilion) pada tahun 2020.
Gergasi tenaga global itu mengakui situasi tersebut disebabkan oleh penularan COVID-19 yang menyebabkan permintaan ke atas bahan api merudum.
Sebagai perbandingan, Shell mencatat keuntungan sebanyak AS$15.8 bilion (RM64 bilion) pada tahun 2019.
Selain Shell, syarikat minyak Britain, BP turut merekodkan kerugian mencecah AS$20.3 bilion (RM82.3 bilion) tahun lalu. Kedua-dua syarikat berkenaan juga terpaksa memberhentikan beribu-ribu pekerja akibat impak pandemik berkenaan.
Selepas kerajaan-kerajaan di seluruh dunia menutup sempadan masing-masing dan tidak membenarkan penerbangan dibuat, harga minyak jatuh ke tahap yang sangat rendah.
Harga bahan api bagaimanapun naik perlahan-lahan dan dilihat mencatat pemulihan yang memberangsangkan. Perkembangan positif itu berikutan jangkaan ekonomi yang lebih baik kerana usaha vaksinasi di seluruh dunia. – AFP