
7 LELAKI ROHINGYA DITAHAN TUNGGANG MOTOSIKAL RODA TIGA DIUBAH SUAI, TIADA LESEN MEMANDU
Tujuh lelaki Rohingya ditahan oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor kerana menunggang motosikal yang diubahsuai dan tidak memiliki lesen memandu yang sah di sekitar daerah Johor Bahru dalam Ops Roda Tiga.
JPJ Johor dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dijalankan sejak pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari itu melibatkan seramai 15 anggota dan pegawai dari bahagian penguatkuasa JPJ Johor. Mereka terdiri daripada seksyen operasi ,unit operasi dan unit siasatan.
Operasi diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ negeri, Mohamad Firdaus Mohamad Ibrahim. Ia bagi mengesan kesalahan pemandu dan kenderaan yang tidak mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

Hasil pemeriksaan yang dibuat, sebanyak tujuh buah motosikal telah ditahan dan disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 (2) akta yang sama iaitu kenderaan persendirian dijadikan kenderaan barang dan membenarkan tujuh lelaki Rohingya memandu kenderaan tanpa lesen memandu yang sah.
“Selain itu, pemandu dan kenderaan juga diambil tindakan di bawah akta tersebut dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan serta Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 di atas pelbagai kesalahan dan lain-lain kesalahan teknikal,” kata Mohamad Firdaus.
JPJ Johor menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara berfokus serta berterusan bagi memastikan peraturan jalan raya dipatuhi, selain meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya lain. – K! Online, Sinar Harian