Buletin

RENAULT GRAND KANGOO – LAGENDA KINI KEMBALI DENGAN LEBIH BESAR DAN LEBIH PRAKTIKAL

Di era 1990an, kita barangkali cukup mengenali sebuah kereta / MPV / wagon eh apa apa ajalah namanya, yang diberi nama Renault Kangoo. Ianya kelihatan cukup menarik. Kecil dan kompak tapi cukup praktikal apabila ianya turut ditawarkan dengan fungsi tujuh tempat duduk juga dengan fungsi mengangkut barangan keperluan dengan kapasiti yang lebih besar berbanding Wagon biasa.

Namun itu cerita lama. Kini penggantinya telah pun berevolosi. Inilah dia Renault Grand Kangoo serba baharu yang telah pun dipertontonkan kepada umum ketika  IAA Mobility 2023 di Munich. Berbanding generasi sebelumnya, model baharu ini jelas lebih besar dan luas, seiring dengan nama Renault Grand Kangoo.

Cukup besar dan luas, pastinya memberikan kelebihan serta keupayaan yang bukan calang terhadap Renault Grand Kangoo ini. Melihatkan rekaan pintu di bahagian hadapan juga sudah kelihatan agak besar. Seperti sebuah ciri yang ada pada jenama Kangoo ini, pintu belakang menggunakan jenis gelongsor yang boleh tahan besar juga. Malah lantai juga rendah.

Akses untuk keluar masuk yang cukup mudah, terutamanya membabitkan golongan berusia dan anak kecil. Bumbung juga tinggi memberikan rasa lega yang bukan kepalang.

Dan konfigurasi tempat duduknya, sudah pasti menggunakan formasi 2+3+2 yang pastinya mampu memuatkan tujuh penumpang dewasa tanpa masalah. Ini adalah sebuah MPV yang bersaiz penuh. Malah bahagian kargo di belakang juga masih berupaya memuatkan lebih muatan waima kerusi barisan ketiga digunakan.

Apa tah lagi sekiranya barisan tempat duduk kedua dan ketiga dilipat. Ianya merubah menjadi lantai yang rata dan boleh memuatkan apa sahaja tanpa masalah.

Yang menjadi daya penarik juga terhadap Renault Grand Kangoo ini adalah opsyen trenkuasa yang ditawarkan kepada pemilik.

Tipikal enjin petrol dan diesel ditawarkan secara standard dengan enjin 1.3 liter turbo serta enjin diesel 1.5 liter yang mampu menghasilkan kuasa 128 HP dan juga 95 HP untuk setiap satunya.

Kini ianya menawarkan pilihan varian E-Tech dengan pek bateri lithium 45 kWh yang mampu bergerak sehingga 265 km, memadai untuk kegunaan harian. Motor elektrik tunggal ini mampu menawarkan kuasa 120 HP dan juga 245 Nm.

Walau pun ikut rupa bentuk, mungkin dilihat kurang menarik, namun jikalau ikut praktikaliti, ianya adalah pilihan yang cukup ideal buat mereka yang inginkan kelainan.

BACA : RENAULT KANGOO 2021 – MAKIN LAWA PULA TENGOK

BACA : MERCEDES-BENZ T-CLASS 2023 – RENAULT KANGOO YANG LEBIH MEWAH

Google ads

B K

Back to top button