Buletin

MERCEDES-BENZ T-CLASS 2023 – RENAULT KANGOO YANG LEBIH MEWAH

Mercedes-Benz membawakan pendatang baharu dalam segmen kenderaan komersial ringan sebagai pelengkap kepada model Citan yang telah dilancarkan sebelum ini, iaitu T-Class.

Berbanding Citan, T-Class disasarkan kepada pengguna gaya hidup aktif yang mahukan penawaran yang lebih premium dan lebih mewah, namun masih lagi menggunakan pelantar yang sama dengan model Renault Kangoo.

Dari segi kuasa, Mercedes-Benz T-Class hadir dengan penawaran enjin empat silinder sebaris berkuasa turbo.

Versi asas hadir dengan enjin diesel 1.5 liter dengan dua output berbeza, iaitu 95 hp dan 116 hp, sementara versi petrol 1.3 liter turut hadir dengan dua output berbeza, iaitu 102 hp dan 131 hp.

Kotak gear standard adalah manual enam nisbah kelajuan atau opsyen automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

Sementara versi elektrik sepenuh masa pula dijangka akan hadir kemudian.

Antara ciri standard yang dimuatkan termasuklah skrin sentuh bersaiz tujuh inci dengan integrasi peranti pintar, roda stereng dengan butang fungsi, sistem kemasukan tanpa kunci, bantuan menghidupkan enjin jarak jauh, serta sistem pencahayaan kabin LED.

Dua trim ditawarkan iaitu Style dan Progressive, di mana setiap satu membawakan kemasan dan senarai opsyen yang berbeza.

Mercedes-Benz T-Class akan mula dijual di pasaran Eropah pada harga bermula bawah €30,000 (RM137,063), jauh lebih mahal berbanding harga asas Renault Kangoo sekitar €20,000 (RM91,376).

Google ads
Back to top button