Buletin

RENAULT LAWAN CHINA, TWINGO E-TECH TAWAR HARGA MESRA POKET – BAWAH RM99K

Ketika pengeluar China semakin mendominasi segmen kereta elektrik mampu milik, Renault tampil dengan senjata baharu yang berpotensi mengubah landskap EV bandar Eropah – Renault Twingo E-Tech, sebuah kereta elektrik kompak dengan harga permulaan hanya €19,490 (sekitar RM93,296).

Harga ini meletakkan Twingo E-Tech terus berdepan EV China dalam segmen A, malah menjadikannya antara EV buatan Eropah paling murah pernah ditawarkan.

Janji “bawah €20,000” yang diumumkan ketika kereta konsep dipertontonkan pada November 2023 kini bukan lagi retorik pemasaran, sebaliknya realiti pasaran.

Lebih menarik, di Perancis mulai 2026, insentif kerajaan melalui skim Energy Saving Certificates boleh menurunkan harga secara drastik.

Bergantung kepada kategori pendapatan, harga efektif Twingo E-Tech boleh serendah €14,720 (sekitar RM70,463), satu angka yang selama ini sinonim dengan EV jenama China.

Walaupun harga agresif, Renault tidak “potong” dari segi kelengkapan. Varian asas Evolution sudah dibekalkan ciri yang biasanya ditemui pada kereta lebih mahal, termasuk paparan digital 7-inci, skrin tengah 10-inci dengan sokongan sambungan telefon pintar, sistem bantuan keselamatan aktif, brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, kawalan jelajah, serta brek parkir elektronik.

Untuk mereka yang mahukan lebih teknologi, varian Techno ditawarkan pada harga €21,090 (sekitar RM100,955) sebelum insentif, dengan penambahan sistem OpenR Link bersama Google terbina, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi Stop & Go, pendingin hawa automatik, pemanduan satu pedal serta kamera pandangan belakang digital.

Dari segi rekaan, Twingo E-Tech mengekalkan identiti ikonik model asal dengan sentuhan moden; kecil, comel dan penuh karakter.

Panjang hanya 3.79 meter, namun ruang dalaman dioptimumkan dengan konfigurasi pintar seperti tempat duduk belakang gelangsar individu dan sandaran kerusi penumpang hadapan boleh dilipat. Ruang but pula boleh mencecah 360 liter, satu pencapaian luar biasa untuk kereta bandar elektrik.

Kuasa elektrik disalurkan oleh motor 60kW (82hp) digandingkan dengan bateri LFP yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 263km (WLTP) – cukup ideal untuk kegunaan harian bandar.

Fungsi pemanduan satu pedal menjadikan kesesakan lalu lintas dan bulatan lebih mudah dikendalikan, terutama dalam persekitaran urban.

Sebagai tambahan, Twingo R Pass berharga €100 (sekitar RM478) ditawarkan bagi pelanggan yang mahu akses awal tempahan, keutamaan pengeluaran serta beberapa manfaat eksklusif sebelum model ini dibuka kepada umum.

Dengan gabungan harga rendah, teknologi moden dan identiti Eropah, Renault Twingo E-Tech jelas bukan sekadar EV bandar biasa. Ia adalah jawapan Renault terhadap kebangkitan EV China.

Google ads
Back to top button