Artikel Pilihan

PERATURAN TEKNIKAL F1 TAHUN 2026 LAGI KOMPLEKS. MANA PANADOL??

Musim 2026 bakal menyaksikan transformasi besar dalam Formula 1, dengan perubahan teknikal yang akan mempengaruhi bukan sahaja prestasi kereta tetapi juga strategi perlumbaan secara keseluruhan. FIA memperkenalkan peraturan baru yang memberi fokus kepada kuasa elektrik, penggunaan bahan api mampan, dan aerodinamik terbaru yang akan menjadikan perlumbaan lebih menarik dan mesra alam.

Enjin & Trenkuasa

Salah satu perubahan paling ketara ialah pembahagian kuasa 50:50 antara enjin pembakaran dalaman (ICE) dan motor elektrik/bateri (MGU-K). Ini berbeza dengan sistem 2025 yang hanya memberikan kira‑kira 20% kuasa daripada elektrik.

Sistem MGU-K (Kinetic) kini boleh menyumbang sehingga 350 kW kuasa maksimum (469hp), membolehkan pemandu menggunakan tenaga elektrik dengan lebih agresif untuk memotong atau mengekalkan kelajuan.

Selain itu, sistem MGU-H (sistem yang mengembalikan kuasa dengan sistem turbo) dihapuskan, menjadikan reka bentuk trenkuasa leboh ringkas dan mengurangkan kos pembangunan. Strategi tenaga juga menjadi elemen kritikal dalam perlumbaan dimana pemandu perlu bijak mengurus bateri sepanjang trek untuk memaksimumkan prestasi, terutamanya ketika menggunakan Boost / Overtake Mode yang memberi kuasa elektrik tambahan untuk memotong pesaing.

Bahan Api Mampan

Mulai 2026, semua kereta F1 diwajibkan menggunakan 100% bahan api mampan. Bahan api baru ini memberikan tenaga setanding dengan petrol tradisional tetapi dengan jejak karbon yang jauh lebih rendah.

Penggunaan bahan api sintetik yang menggunakan karbon yang diperangkap dari pelepasan industri, digabungkan dengan hidrogen yang akan menghasilkan petrol secara sintetik. Langkah ini selari dengan usaha F1 untuk menjadi lebih lestari, sambil mengekalkan tahap prestasi puncak yang diharapkan dari kereta Formula 1.

Aerodinamik & Struktur

Kereta F1 2026 direka untuk menjadi lebih kecil dan ringan (5–10% lebih ringan), sambil mengekalkan prestasi aerodinamik yang tinggi. Fokus utama ialah ground effect, menggunakan venturi tunnels di bawah kereta untuk meningkatkan cengkaman tanpa menghasilkan banyak dirty air. Ini membolehkan kereta berlumba lebih rapat, mengurangkan gangguan udara kepada pesaing di belakang.

Sayap depan dan belakang direka lebih agile, dan sistem DRS (Drag Reduction System) tradisional diganti dengan Boost / Overtake Mode, yang menggunakan tenaga elektrik untuk memberikan kuasa tambahan sementara memotong.

Struktur monocoque pula diuji semula, dengan integrasi bateri dan enjin pembakaran dalaman yang selamat, memastikan keselamatan pemandu tetap terjaga walaupun dengan peningkatan kuasa elektrik.

Keselamatan

Bagi musim 2026, struktur monocoque Formula 1 diuji dan direka semula bagi menampung integrasi sistem bateri dan enjin pembakaran dalaman yang lebih kompleks. Fokus utama keselamatan bukan sahaja tertumpu kepada perlindungan pemandu, malah melibatkan keselamatan komponen tenaga elektrik berkuasa tinggi.

Sistem perlindungan baharu memastikan pemandu dan bateri kekal terlindung dengan baik sekiranya berlaku kemalangan, sekaligus mengurangkan risiko kecederaan serius atau kegagalan sistem elektrik.

Selain itu, reka bentuk papan pemuka dan panel instrumen turut ditambah baik bagi mengurangkan potensi kecederaan kepada pemandu ketika hentaman. Struktur dalaman kereta direka supaya tenaga hentakan dapat diserap dengan lebih berkesan, manakala sistem keselamatan elektrik dan mekanikal digabungkan dalam satu safety cell yang kukuh.

Pendekatan ini memastikan kereta kekal selamat walaupun beroperasi dengan tahap kuasa elektrik yang jauh lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya.

Berat & Dimensi

Kereta Formula 1 2026 juga direka untuk menjadi lebih kecil dan lebih ringan, dengan perubahan kecil pada wheelbase dan lebar bagi meningkatkan tahap cornering agility membenarkan pemanduan lebih agresif di selekoh.

Pengurangan berat sekitar 5 hingga 10 peratus bukan sahaja membantu meningkatkan pecutan dan kawalan, tetapi turut memainkan peranan penting dalam kecekapan aerodinamik keseluruhan.

Dengan berat yang lebih rendah, sistem ground effect dapat berfungsi dengan lebih efektif, menghasilkan cengkaman tinggi tanpa perlu bergantung kepada aerodinamik atas yang agresif. Hasilnya, kereta bukan sahaja lebih laju, malah lebih stabil ketika melalui selekoh laju dan mampu berlumba rapat tanpa kehilangan prestasi.

Strategi Perlumbaan

Semua perubahan teknikal ini menjadikan strategi perlumbaan jauh lebih kompleks dan dinamik. Pengurusan tenaga elektrik kini menjadi elemen taktikal utama, di mana pemandu dan pasukan perlu menentukan bila tenaga bateri perlu dijimatkan dan bila ia patut digunakan secara maksimum.

Penggunaan Boost atau Overtake Mode pada waktu yang tepat boleh menjadi penentu sama ada seorang pemandu berjaya memotong pesaing atau kehilangan posisi. Dalam era baharu ini, kecekapan aerodinamik dan pengurusan bateri menjadi sama penting dengan prestasi enjin pembakaran dan pengurusan tayar, menjadikan setiap perlumbaan lebih bersifat permainan strategi berbanding sekadar perlumbaan kelajuan semata-mata.

Tahun 2026 – Ketahanan Menjadi Isu

Secara keseluruhan, musim 2026 menandakan era baru Formula 1. Dengan 50% kuasa elektrik, penggunaan bahan api mampan sepenuhnya, dan aerodinamik yang lebih efisien, F1 bukan sahaja menjadi lebih menarik untuk ditonton tetapi juga lebih relevan dalam konteks kelestarian automotif.

Tapi pada masa yang sama kami rasakan semua pasukan akan bergelut dengan ketahanan fizikal komponen baru yang dihasilkan. Ujian simulasi mungkin tidak akan memberikan bacaan data yang tepat ketika perlumbaan yang berlangsung secara huru-hara

Mungkin juga kita akan lihat pasukan baru akan mendominasi perlumbaan dan kejuaraan berbanding dengan pasukan McLaren, Mercedes, RedBull Racing dan Ferrari. Mungkin juga akan banyak jentera yang mengalami kerosakan dan DNF sepanjang musim

Google ads
Back to top button