Buletin

DATUK SERI SITI NURHALIZA LENGKAPI 2,000 UNIT JUALAN ZEEKR MALAYSIA

Lebih 2,000 pemilik kini menjadi sebahagian daripada komuniti Zeekr di Malaysia, disatukan oleh visi yang sama terhadap mobiliti elektrik masa depan.

Sambutan pencapaian itu diraikan di The Yard, Sentul Depot, bukan sekadar sebagai angka jualan, tetapi simbol kepada sebuah jenama yang semakin kukuh diterima pasaran tempatan.

Acara tersebut turut mencuri tumpuan apabila penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, diumumkan sebagai pemilik ke-2,000 Zeekr menerusi penyerahan sebuah Zeekr 7X.

Suasana lebih bermakna apabila para pemilik hadir bersama keluarga, berkongsi detik gembira, menerima cenderahati dan seterusnya memulakan perjalanan baharu menerusi sesi flag-off beramai-ramai.

Zeekr 7X ditawarkan dalam tiga varian iaitu RWD Standard, RWD Long Range dan AWD Performance, masing-masing dengan harga RM179,800, RM190,800 dan RM226,800.

Varian RWD Standard menggunakan bateri LFP berkapasiti 75 kWh yang membolehkan jarak pemanduan sehingga kira-kira 480 km (WLTP). Ia digerakkan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 310kW dan tork 440Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j sekitar enam saat.

Bagi pengguna yang mementingkan jarak perjalanan lebih panjang, RWD Long Range hadir dengan bateri NMC 100kWh yang menawarkan jarak sehingga 615km bagi sekali cas.

Sementara itu, varian AWD Performance tampil sebagai versi paling berprestasi dengan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan 475kW dan tork 710Nm.

Keupayaan pecutannya juga mengagumkan, dengan catatan 0–100km/j dalam hanya 3.8 saat, setanding SUV prestasi tinggi dalam segmennya.

Kesemua varian Zeekr 7X dibangunkan menggunakan seni bina elektrik 800V yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 420kW. Dengan teknologi ini, pengecasan dari 10 hingga 80 peratus boleh dicapai sekitar 10 hingga 16 minit, bergantung kepada varian.

Dari segi rekaan, Zeekr 7X mengangkat falsafah “Hidden Energy” yang dihasilkan oleh pusat reka bentuk Zeekr di Gothenburg, Sweden.

Garis badan yang bersih, bumbung berkonsep terapung serta rekaan lampu hadapan dan belakang penuh memberikan identiti moden dan futuristik. Lampu LED hadapan yang terdiri daripada 1,831 unit LED turut mampu memaparkan animasi, menjadikannya antara ciri visual paling unik dalam kelasnya.

SUV elektrik ini berukuran 4.78 meter panjang, 1.93 meter lebar dan mempunyai jarak roda 2.9 meter, meletakkannya sebaris dengan SUV premium seperti Tesla Model Y.

Ruang kabin pula direka untuk keselesaan dan teknologi tinggi, menampilkan paparan HUD realiti terimbuh bersaiz 36-inci serta skrin infotainmen mini-LED 16-inci beresolusi 3.5K yang dipacu cip Qualcomm 8295.

Sistem audio premium dengan 21 pembesar suara berkuasa 2,160 W pula memastikan pengalaman bunyi yang imersif.

Bagi varian AWD Performance, tempat duduk dilapisi kulit Nappa dan dilengkapi fungsi urut, pemanas serta pengudaraan. Kabin turut diserikan dengan bumbung panoramik seluas 1.84 meter persegi, selain ruang kargo maksimum mencecah 1,978 liter serta ruang simpanan tambahan 62 liter di bahagian hadapan.

Dari sudut keselamatan, Zeekr 7X dilengkapi tujuh beg udara, struktur badan berasaskan keluli dan aluminium berkekuatan tinggi serta sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2.5. Antara ciri utama termasuk kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, brek kecemasan automatik dan pemantauan pemandu.

Model ini juga antara yang terawal di dunia menerima pensijilan keselamatan elektromagnet dua hala, sekali gus menawarkan perlindungan tambahan kepada penumpang dan sistem elektronik.

Zeekr 7X ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu putih, hitam, kelabu, hijau serta Brook Blue yang eksklusif untuk varian AWD Performance.

Google ads
Back to top button