Buletin

RENAULT TWINGO BAHARU PADA 2026, KURANG DARIPADA 20 RIBU EURO (RM94 RIBU)!

Selepas Renault 5 dan 4, Renault akan membawakan kepada pasaran sebuah lagi model elektrik iaitu Twingo E-Tech.

Berbanding Renault 5 yang mempunyai sejarah panjang dari tahun 1972, Twingo masih baharu dengan generasi pertama diperkenal pada Oktober 1992.

Di sebalik usia yang muda, Twingo tetap ikonik dengan reka bentuk unik. Twingo sudah merentasi tiga generasi dengan model elektrik diperkenal pada 2020 dan berada di pasaran sehingga kini.

Twingo generasi pertama tampil unik sebelum disederhanakan pada generasi kedua dan ketiga. Dari gambar prototaip yang dikongsi nampaknya rekaan unik bakal kembali.

Renault Twingo E-Tech menjejaki sejarah melalui lampu bulat dan jaluran ibarat lingkaran gelap di bawah mata (eye bag).

Bahagian sisi mengembang dan identiti Twingo dikekalkan namun nisbah cermin kepada panel badan tidak seunik seperti generasi pertama.

Bahagian belakang pula bertambah unik dengan lampu yang dikeluarkan dari badan dan dalam bentuk sama seperti lampu depan.

Tidak pasti sama ada dikekalkan pada model pengeluaran dan jelas rekaan begitu menambah karakter Twingo.

Bumbung kaca pula seperti biasa, memberi pencahayaan siang atau malam dan menambah kesan keluasan dalaman.

Tiga liang pada bonet pula bukan untuk menyalurkan udara kepada motor tetapi sebagai penghormatan kepada generasi pertama.

Renault tidak berkongsi banyak perincian mengenai Twingo generasi keempat kecuali dibangunkan oleh Ampere (bahagian EV Renault) dan bakal menemui pasaran pada 2026.

Apa yang menarik ialah sasaran harga permulaan di bawah 20,000 euro (RM94,053) dan strategi Renault untuk menghasilkan EV pada harga yang mampu dimiliki lebih ramai pengguna.

Koleksi EV Renault yang lain juga menarik seperti Renault 5 E-Tech, Renault 4 E-Tech, Megane E-tech dan Scenic E-Tech.

Sementara itu bagaimakah rupa penuh Renault 4 E-Tech yang merupakan sebuah lagi model ikonik dan legenda?

Google ads
Back to top button