Buletin

CETA 2025: UMW TOYOTA MOTOR PERKUKUH STRATEGI KE ARAH MOBILITI SIFAR BERSIH

UMW Toyota Motor (UMWT) menegaskan komitmennya terhadap peralihan mobiliti mampan ketika menyertai Clean Energy Transition Asia Summit (CETA) yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 Disember 2025.

Sebagai Rakan Asas CETA menerusi platform MobilityX, UMWT berganding bahu bersama kerajaan, pemain industri serta pihak berkepentingan serantau bagi memacu agenda mobiliti lebih bersih dan inklusif di Malaysia serta ASEAN.

Pada sidang kemuncak tersebut, UMWT menekankan bahawa peralihan mobiliti negara memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi dasar, pembangunan infrastruktur, kesiapsiagaan industri dan penerimaan masyarakat.

Pendekatan Multipathway Toyota dilihat selari dengan keutamaan nasional di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Mobiliti Rendah Karbon (LCMB), selain berpandukan Toyota Global Environmental Challenge 2050.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K. berkata, sebagai rakan mobiliti yang telah lama bertapak di Malaysia, Toyota memikul tanggungjawab untuk menyokong aspirasi negara melalui penyelesaian yang realistik, boleh diperluas dan memberi manfaat segera kepada rakyat.

Menurutnya, komitmen itu turut merangkumi pembangunan kemahiran, pengukuhan kesiapsiagaan infrastruktur serta pembinaan ekosistem yang membolehkan pengguna beralih ke mobiliti lebih bersih dengan yakin.

UMWT turut menekankan kepentingan dasar berkecuali teknologi yang mengambil kira keperluan mobiliti Malaysia yang pelbagai, selari dengan falsafah “Mobility for All”.

Setiap laluan teknologi termasuk enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan hibrid elektrik (HEV), kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan sel bahan api hidrogen (FCEV) memainkan peranan tersendiri dalam memenuhi keperluan komuniti dan industri, sambil menyokong komitmen negara ke arah pelepasan sifar bersih.

ICE cekap tenaga dan HEV mampu memberikan pengurangan pelepasan karbon dioksida secara segera, manakala pembangunan BEV disokong melalui pelaburan NETR dalam infrastruktur pengecasan, tenaga boleh diperbaharui dan peningkatan grid.

Inisiatif Toyota Beyond Zero Malaysia yang diperkenalkan pada 2024 mengukuhkan aspirasi jangka panjang ini.

Hidrogen turut dikenal pasti sebagai komponen penting dalam strategi Multipathway. UMWT telah memulakan langkah awal menerusi projek perintis termasuk pembekalan Toyota Mirai kepada armada Kerajaan Sarawak melalui SEDC serta pelaksanaan projek perintis Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) pertama di Malaysia di Putrajaya, selaras dengan Hydrogen Economy and Technology Roadmap (HETR).

Setakat ini, sembilan kenderaan sel bahan api hidrogen Toyota telah digunakan di seluruh negara.

CETA 2025 turut menyaksikan pelancaran rasmi inisiatif R.A.C.E to ZERO 2026 oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Inisiatif berskala nasional itu bertujuan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah sifar bersih, menyokong projek tenaga bersih serta membangunkan keupayaan tempatan.

Penyertaan UMWT menampilkan usaha berkaitan hidrogen dan pendekatan Multipathway yang seiring dengan matlamat mobiliti bersih negara.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif lebih luas, UMWT turut menyediakan pendedahan awal kepada kenderaan elektrik dan elektrifikasi kepada kementerian serta agensi terpilih bagi memahami keperluan pemanduan dan operasi tempatan.

Dalam platform MobilityX, Pengarah Eksekutif UMWT, Mohd Shamsor Mohd Zain menyampaikan ucaptama mengenai peralihan mobiliti ASEAN, sebelum menyertai sesi perbincangan bersama Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Toyota Motor Asia, Pras Ganesh, yang membincangkan hala tuju teknologi serantau serta peluang untuk Malaysia.

Kehadiran Toyota di Malaysia bukan sekadar dari sudut pasaran, malah merangkumi pelaburan jangka panjang dalam pembuatan tempatan dan pemindahan kepakaran.

Usaha ini telah melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia menyokong teknologi mobiliti generasi baharu. Kerjasama berterusan, termasuk demonstrasi Mirai di Sarawak dan projek perintis pengisian hidrogen di Putrajaya, kekal menjadi teras pendekatan Multipathway.

Google ads
Back to top button