Buletin

RIM GENTIAN KARBON JENAMA CARBON REVOLUTION KINI 25% LEBIH MURAH 

Pengeluar rim gentian karbon terkenal, Carbon Revolution baru-baru ini mengumumkan bahawa harga produk keluarannya kini 25 peratus lebih murah. 

Carbon Revolution ialah satu-satunya syarikat yang menghasilkan rim gentian karbon sepenuhnya dan dijual secara komersial di dunia. Tidak seperti rim yang dibuat untuk Koenigsegg misalnya, anda boleh membeli rim Carbon Revolution di kedai. Tetapi harganya memang arwah lah…

Sebagaimana yang diketahui, Carbon Revolution menjadi pembekal rim untuk model Ford GT dan Shelby GT350R Mustang, jadi kontrak itu membolehkan harganya diturunkan.

“Harga baru ini merupakan kesan langsung daripada pertumbuhan pesat perniagaan kami yang dipacu oleh pembekalan OEM. Kecekapan skala dan automasi baru di kilang Australia membolehkan kami memanjangkan manfaat ini kepada pengguna,” jelas Pengarah Eksekutif Carbon Revolution, Brett Gass.

Untuk memenuhi permintaan pengeluar kenderaan, Carbon Revolution telah melaburkan wang yang banyak ke atas proses dan kemudahan pengilangannya.  Ia juga menjadi petanda pasaran akan ditawarkan dengan rim gentian karbon yang lebih murah pada masa depan. Namun begitu, jumlah rim tersebut akan dijual dalam jumlah terhad.

Rim gentian karbon yang ringan memberikan peningkatan signifikan ke atas kereta. Ini kerana ia mampu mengurangkan beban ke atas komponen-komponen seperti gandar, bearing, hab roda, aci pacu (driveshaft) dan banyak lagi. Seterusnya menambah baik aspek ketegaran jentera, maklum balas stereng, suspensi serta mengurangkan NVH.

Dengan penurunan harga itu, satu set rim Carbon Revolution CR9 dengan lima bolt sekarang ditawarkan pada harga AS$11,850 (RM51,465), murah AS$4,000 (RM17,400) berbanding sebelumnya.

Di Amerika, Carbon Revolution mempunyai 20 pengedar dan rim itu juga boleh ditempah melalui laman web. Untuk makluman, harga rim Carbon Revolution sebelum ini adalah sekitar AS$20,000 (RM86,860) satu set.

BACA: SAIZ RIM – APAKAH KESAN DAN PERBEZAANNYA?

GALERI

Google ads
Back to top button