
HIKMAH PKP, RIM RONIN TERCIPTA. BUKAN SEKADAR DI MALAYSIA, SEDIA TEMBUSI PASARAN JEPUN DAN AUSTRALIA!
Kita semua pasti tidak akan melupakan pandemik Covid-19 yang melanda pada Mac 2020. Virus yang dikatakan berasal dari Wuhan, China itu membuatkan aktiviti manusia di seluruh dunia terhenti sepenuhnya.
Malaysia juga tidak terkecuali. Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha untuk mengekang penularan Covid-19 yang sehingga kini telah meragut puluhan ribu nyawa.
Lalu, bermulalah tempoh di mana kita tidak dibenarkan keluar dari rumah, melainkan untuk membeli barangan keperluan. Situasi yang tidak pernah berlaku dan dibayangkan sebelum ini.
Namun, tiada apa yang berlaku tanpa ada hikmah di sebaliknya. Pastinya, setiap orang menerima hikmah dalam bentuk yang berbeza selepas melakukan refleksi diri atau bermuhasabah sepanjang tempoh PKP tersebut.
Kami di Mekanika Malaysia misalnya, PKP merupakan pencetus kepada peningkatkan jumlah subcribers untuk saluran YouTube yang sangat mendadak.

Bayangkan sebelum PKP, Mekanika Malaysia hanya ada sekitar 13,000 subscribers. Senang cakap, antara paling ‘ayam’ lah kalau nak dibandingkan dengan saluran YouTube automotif tempatan yang lain pada masa itu. Manufacturers pandang pun sebelah mata sahaja.
Alhamdulilah, subscribers Mekanika kini telahpun mencecah lebih 720,000. Sesuatu yang kami fikir hampir mustahil untuk dicapai dalam tempoh begitu singkat tanpa adanya tempoh PKP.
Berbeza pula dengan Jonathan Ong yang perniagaan penganjuran acara miliknya terhenti sepenuhnya akibat pelaksanaan PKP. Selepas terpaksa menghentikan pekerja dan sudah puas bermain video game di rumah, Jonathan yang lebih senang disapa sebagai Jon sedar dia perlu mengusahakan satu perniagaan baharu.
Pada peringkat awal, dia hanya mahu terlibat dalam jual beli rim tempaan (forged) dari China kerana kosnya lebih rendah. Lagipun, cara itu membolehkannya membeli seberapa banyak rim yang dikehendaki, sebelum dijual semula kepada pelanggan. Perniagaan rim tersebut bermula dengan beberapa design untuk rim bersaiz 19 dan 20 inci yang disasarkan kepada pemilik BMW.

Kemudian Jon mula membuat kajian industri rim dan mendapati jika dia mahu membangunkan jenama rim di Malaysia dan kembangkan ke peringkat global, dia memang ada kelebihan. Ini kerana kebanyakan jenama besar rim dari Eropah pun menghasilkan rim mereka di Thailand.
Jadi, dari segi geografinya, kita memang sangat dekat dengan Thailand. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Thailand merupakan antara pengeluar rim terbesar dan berkualiti tinggi di dunia selain Taiwan dan China.
Bertitik tolak dari situ, maka lahirlah rim berjenama Ronin di pasaran Malaysia. Menurut Jon, cabaran paling sukar yang dihadapi sepanjang membangunkan rim Ronin ialah kekangan akibat PKP.
Ketidaktentuan dan perubahan polisi kerajaan Thailand membuatkan aspek penghasilan rekaan dan pengilangan mengalami penangguhan yang serius sehingga satu setengah tahun. Kilang biasanya akan menghasilkan satu contoh rim untuk diuji sebelum mendapat kelulusan pihak Ronin.

Buat masa sekarang, Ronin hanya menawarkan satu saiz rim 18 inci dengan dua reka bentuk (RFF-01 dan RFF-02) yang hadir dalam tiga warna iaitu hitam (Alumite Black), kelabu (Dark Gun Metal) dan tembaga (Matte Copper). Jelas Jon, penambahan kepada saiz 19, 20 inci dan seterusnya bergantung kepada pemintaan serta design.
Reka bentuk sesebuah rim perlu ada nilai di sebaliknya kerana pasaran rim memang sangat bergantung kepada design. Selepas berpuas hati dengan satu-satu rekaan, Ronin akan menghasilkan acuan dan kosnya tidak murah. Itulah risikonya.
Ditanya kenapa rim menjadi pilihan dan bukannya alat ganti kereta yang lain, Jon memberitahu rim membolehkan dia mengembangkan lagi kreativitinya. Pernah juga mahu hasilkan bodykit kereta, tetapi ia lebih sukar dan terhad kepada satu-satu kenderaan atau model sahaja.
Berbanding rim, jika saiznya betul (lebih tepat lagi 18×8.5J dengan PCD 114.3 atau 112), ia boleh dipasang pada pelbagai jenis model dan jenama kereta.

Ronin berbeza dengan rim lain kerana reka bentuknya yang menarik. Beberapa rekaan pada peringkat awal memberi fokus kepada berat kerana ramai pelanggan mahukan rim yang ringan. Hasilnya, rim berkenaan hanya seberat 8.6 kilogram sahaja. Namun, berat rim turut bergantung kepada reka bentuk. Lebih banyak jejari (spoke), ia lebih kukuh tetapi akan berat sedikit, berbanding rim yang mempunyai kurang jejari.
Harus tahu juga Ronin ialah rim yang dihasilkan menerusi proses flow forming dan bukannya jenis tuang (cast). Rim jenis flow forming adalah lebih ringan dan kukuh kerana ia ditempa pada tekanan tinggi ketika dipusing pada kelajuan tinggi. Proses itu kemudian mengubah struktur molekul dan meningkatkan kekukuhan aloi.
Lebih penting lagi, rim Ronin dihasilkan di kilang di Thailand yang sudahpun mendapat piawaian TUV Jerman. Ini merupakan pasport untuk Jon memasarkan rim Ronin bukan sekadar di Malaysia kerana volume yang kecil, malah boleh menembusi pasaran antarabangsa.
Buat masa sekarang, Jon mahu mengukuhkan jenama dan nilai Ronin di Malaysia terlebih dahulu. Namun, dia sebenarnya sudah berbincang dengan wakil di Jepun dan Australia untuk membawa rim Ronin ke sana. Kini Ronin dalam fasa melihat bagaimana untuk membentuk permintaan dan mengetahui segala kekangan sebelum mengeksportnya.

“Kami masih dalam fasa perbincangan untuk mengetahui lebih mendalam tentang pasaran mereka kerana ekspektasi pelanggan adalah berbeza. Pasaran Jepun lebih mudah kerana budaya mereka tidak jauh berbeza dengan Malaysia, jadi tahap penerimaan lebih mudah berbanding Australia. Peraturan keselamatan di Australia lebih ketat berbanding Jepun.
“Pasaran Jepun cukup besar kerana harga rim di sana sangat mahal iaitu sekitar RM1,200 hingga RM2,000 seunit. Jadi, Ronin mempunyai kelebihan untuk menarik minat pembeli dengan julat harga lebih rendah. Disebabkan oeh kadar tukaran wang asing sekarang, harga rim Ronin masih boleh dikira murah dan mampu milik di sana.
“Apatah lagi majoriti rakyat Jepun berada dalam kelompok berpendapatan sederhana rendah,” jelas Jon yang mengesahkan sudah menghantar satu set rim Ronin untuk diuji di Jepun.
Biarpun begitu, dia tidak mahu tergesa-gesa. Sebaliknya ingin mengambil satu demi satu langkah kerana Jepun ialah pasaran yang penting dan tidak mahu membuat kesilapan.
Justeru, Ronin kini masih mengumpul data melalui kajian pasaran serta ingin memastikan titik pengedaran yang tepat kerana Jepun ialah sebuah negara yang besar.
- BACA: RIM ALOI RONIN DAN INOVIT KINI DI MALAYSIA. REKAAN PADU, RINGAN DAN BERPRESTASI. BERMULA RM4.2K SAHAJA!
- BACA: TIDAK SENSITIF DENGAN KESUSAHAN RAKYAT, 7 DITAHAN KERANA PAMER KERETA MEWAH DI RUSIA
- BACA: PENGELUAR KERETA CHINA GAGAL MENYINAR DI PASARAN SENDIRI. PENGGUNA LEBIH SUKA JENAMA ASING
- BACA: INILAH 7 FILEM AKSI KERETA TERBAIK DI DUNIA!
GALERI
















