Buletin

RIM TOLMAN MILLE LAGHI UNTUK PEUGEOT 205 DAN 309 GTi INI RM6.8 RIBU SEBUAH!

Tolman ditubuhkan di United Kingdom (UK) pada 2007 dan menumpukan pada penyediaan, baik pulih, penyelenggaraan dan naik taraf kereta jalanan dan lumba bersejarah dan moden.

Syarikat menggunakan kepakarannya dalam membangunkan dan bersaing di dalam perlumbaan GT3 dan GT4 dan beberapa lagi siri dalam membangunkan dan mengeluarkan perkakasan berprestasi.

Pada 2022, syarikat melancarkan Tolman Edition Peugeot 205 GTi dengan pakej baik pulih dan naik taraf untuk kegunaan harian.

Terbaru Tolman memperkenalkan rim 15 inci Mille Laghi jenis dua bahagian (two-piece) dengan corak 12 lubang dan sebagai penghormatan kepada rekaan ikonik rim Peugeot 205 T16.

Barang dah langka, kita buat dia! Rim 15 inci Mille Laghi menawarkan pemilik 205 dan 309 GTi lebih banyak pilihan tayar prestasi tinggi berbanding saiz standard 14 inci. 

Rim ini dibuat daripada bilet aluminium 6082 yang paling kuat dalam siri 6000 dan walaupun lebih besar mempunyai kelebihan seperti 20 peratus lebih kuat, satu kilogram lebih ringan dan lebih tahan kakisan daripada rim asal.

Pemesinan bilet yang jitu menjadikan rim Tolman tidak mudah bergegar dan bunyi jalan raya yang rendah. Diameter yang bertambah juga mengisi ruang roda GTi dengan kemas.

Tahukah anda berapa harga sebuah? 1,200 pound atau bersamaan RM6,868! Empat buah berharga 4,800 pound atau RM27,473 dan tidak termasuk cukai VAT dan kos penghantaran.

Selain mutu binaan yang bagus rim Mille Laghi dibuat ikut pesanan (built to order) dan boleh difahami mengapa harganya tinggi.

Warna standard ialah perak titanium dan Tolman turut menawarkan beberapa pilihan lain.

Selain rim, Tolman juga menawarkan perkakasan buatan khas untuk Peugeot seperti kit brek besar, saluran brek, motor penghidup daya kilas tinggi, ekzos 205 GTI dan naik taraf ECU.

Dimensi rim Tolman Mille Laghi:

  • 6.5 x 15J
  • 4 x 108 PCD
  • Ofset ET19
Google ads
Back to top button