Stail

RODA KARIER KARL SHAFEK

Watak Amy Amiro dalam teater Maduku Kalut membuatkan bakat Karl Shafek semakin disedari ramai. 

TEMUJANJI seawal pukul 10 pagi pada pagi Sabtu minggu lalu hampir sia-sia. Tiba di lokasi yang dijanjikan, awan hitam yang menyelubungi perkarangan Stadium Shah Alam sedikit merisaukan. Selang tidak sampai 10 minit, gerimis yang mula menitis memutuskan kami untuk beralih ke sebuah kopitiam berdekatan.

Namun, murung pagi itu cepat bertukar nada. Matahari yang awalnya malu-malu semakin menampakkan wajah. Mega yang membungkus suasana jadi kelam sudah berarak ke lembah lain. Oh, cuaca memang sukar diramal.

karl shafek + Kia rio (5)

Begitu juga dengan cabaran kehidupan yang silih berganti. Roda karier juga begitu. Selebriti yang dikenali dengan nama Karl Shafek turut menyedari hakikat dunia seni yang sedang digaulinya sejak empat tahun lalu. Bermula sebagai pembantu penerbitan, dia melebarkan bidangnya menjadi pengacara dan pelakon.

“Sudah empat tahun juga kawan-kawan media menggelarkan saya ‘selebriti yang sedang meningkat naik’. Dari dulu sampai sekarang,” katanya mengundang derai tawa yang memecah cuaca mendung pagi itu.

Menyaksikan graf kariernya, hari ini lelaki berusia 33 tahun dari Pekan, Pahang itu semakin diyakini. Bukan sahaja sebagai pengacara bahkan sebagai pelakon. Persembahan cemerlangnya sebagai Amy Amiro menerusi teater Maduku Kalut ternyata masih berbekas di mata penonton yang tidak melepaskan peluang menyaksikan teater yang dipersembahkan di Istana Budaya, awal Oktober lalu.

“Naskhah teater itu sendiri sudah cukup baik. Watak Ami itu sendiri kuat. Tetapi sampai sekarang saya seperti masih tidak percaya penyerlahan watak Amy Amiro diterima sebegitu rupa. Saya menyifatkan ruang latihan yang cukup iaitu selama dua bulan sangat besar impaknya kepada persembahan pelakon.

karl shafek + Kia rio (25)

“Rasanya saya semakin faham apa itu lakonan pentas. Sebelum ini saya sudah buat teater lain, tapi kali ini lakonan itu lebih besar,” jelasnya yang kini memfokuskan jadualnya untuk sebuah program masakan popular yang bakal kembali ’berdrama’ di kaca TV.

Masih dalam emosi anak teater, Karl Shafek atau nama sebenarnya Khairul Shafe Ibrahim mula berjinak-jinak dengan teater menerusi Plastik Hitam dan Kawan-Kawan Yang Kita Suka.

“Saya pernah bercakap dengan pengarah Maduku Kalut bahawa saya suka jika diberikan watak pondan, budak cacat atau pejuang negara. Semasa pemilihan untuk teater tersebut dibuat, saya ditawarkan watak Amy Amiro, lelaki lembut tapi bukan mak nyah. Kalau boleh saya mahu terus berteater, cuba juga buat muzikal ke?

karl shafek + Kia rio (1)

“Saya percaya pada nasib, ada orang usaha keras tapi masih tak jumpa waktu yang tepat. Saya anggap nasib masih menyebelahi saya tapi dalam soal kerja, kita tak boleh harap pada nasib sahaja. Sehabis Ami Amiro, ramai yang puji. Saya anggap itu satu momentum dan melonjakkan semangat untuk banyakkan kerja bawa watak-watak yang lebih besar dan mencabar,” katanya yang kini muncul dengan program Muzik Aktif di TVi, setiap Jumaat pukul 9 malam.

Bercakap tentang pengacaraan yang menjadi lapangan pertama selain lakonan, tugasan membuat lintas langsung semasa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada tahun 2008 menjadi titik mula Karl Shafek memasuki dunia pengacaraan.

“Ketika itu saya bertugas untuk program Nasi Lemak Kopi ‘O’ di TV9. Itu mula-mula sekali saya diminta berlintas langsung. Dari situ penerbit mula nampak kemampuan saya. Jadi pengacara bukan hanya soal depan kamera, tetapi persediaan bahan, latar belakang cerita dan pengetahuan umum sangat penting.

karl shafek + Kia rio (22)

“Saya pernah tersasul sebut Menara KL ialah menara tertinggi di dunia. Padahal dalam skrip tertulis ‘antara yang tertinggi’. Malu sangat,” ujarnya yang berpengalaman mengendalikan rancangan Chopp!!!, Red Karpet Anugerah Skrin dan 3 Hari 2 Malam (bersama Fizo Omar) serta banyak lagi.

Bercerita tentang program TV juga, Karl memberitahu dia ada mengacarakan program Salam Perwira yang sepatutnya disiarkan sempena Aidilfitri lalu. Namun, kerana masalah teknikal program itu tertunda untuk siaran Aidilfitri tahun depan.

karl shafek + Kia rio (4)

Minat kereta kompak

Terlanjur membawa pelakon yang pernah membintang filem Zaiton Ceritaku ini ke lokasi fotografi khas bersama laman web pemotoran Mekanika Malaysia, kecenderungan minatnya terhadap kereta, jentera yang menjadi keperluan semua individu itu masuk dalam perbincangan.

“Saya suka kereta kompak, kecil tetapi mampu memenuhi keperluan pemanduan saya. Baru-baru ini saya antara artis yang diberi peluang untuk memandu uji kereta Volkswagen Golf MK7 selama dua minggu. Ikutkan hati memang sudah jatuh cinta, tapi kena kerja kuat dan kumpul duit banyak-banyak dulu. Sekarang masih belum mampu,” ujarnya yang turut meminati warna merah untuk kereta idamannya pada masa akan datang.

karl shafek + Kia rio (21)

Bercerita tentang pemanduan juga, dalam diam selebriti yang gemar memasak ini gemar merentas lebuh raya sejauh beratus-ratus kilometer semata-mata hendak berjalan-jalan menghilang tekanan kerja.

“Saya pernah pandu kereta dari KL sampai ke Pulau Pinang, bergerak malam dan esoknya balik semula ke KL. Setakat hendak keluar dari KL dan jalan-jalan ke Bukit Frazer itu biasa. Dulu-dulu, sesekali dapat berkereta dengan kawan-kawan ke Kota Bharu, Kelantan pun akan buat saya teruja,” katanya menjadikan memandu ke lokasi pelancongan sebagai satu cara riadah yang menyeronokkan.

[hr]

Teks: TQ SUZZANNA ARHEJ ([email protected])

Foto: The Puteh Production KL Photography

[hr] Galeri

karl shafek + Kia rio (19)karl shafek + Kia rio (29)karl shafek + Kia rio (28)karl shafek + Kia rio (26)karl shafek + Kia rio (23)karl shafek + Kia rio (22)karl shafek + Kia rio (20)

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Check Also
Close
Back to top button