Selepas 12 tahun, but ikonik adidas Predator membuat penampilan semula menerusi adidas Predator 18 yang telah dilancarkan secara rasminya Football Republic, KLCC.
But Predator adalah antara rangkaian kasut bola sepak yang memberi kejayaan besar buat adidas sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1994. Selama 21 tahun, ia telah direka dengan 18 model berbeza.
Maka tidak hairanlah jika adidas Predator menjadi pilihan legenda-legenda bola sepak dunia seperti David Beckham, Zinedine Zidane, Steven Gerrard dan ramai lagi pada satu ketika dahulu.
Sempena dengan pelancaran pek “Skystalker”, Predator 18 baharu dilancarkan oleh tiga orang pemain tempatan iaitu Izham Tarmizi, Afiq Fazail, serta Badhri Radzi (Piya).
Selain itu, pemain bola sepak tajaan adidas seperti Khairul Helmi, Nurridzuan Abu Hassan serta duta adidas seperti Roen Cian, Raf Yaakob dan pemenang peraduan Football Republic turut hadir.
Kesemua yang hadir dipertontonkan dengan tayangan mengenai sejarah Predator, teknologi dan ciri-ciri khas untuk model keluaran terbaru. Untuk menunjukkan kehebatan kawalan but ini, freestyler ada mempamerkan kawalan teknik serta kemahiran mengagumkan apabila memakai Predator 18.
Predator 18+ didatangkan dengan warna hitam, merah dan emas termasuk Primeknit SOCKFIT COLLAR yang dikemaskini. Ia direka bentuk secara semulajadi untuk menampung serta memastikan sokongan terhadap bentuk kaki.
Sistem PURECUT LACELESS memastikan kawalan permukaan maksimum. Sementara FORGED KNIT memberikan sokongan kepada struktur bahagian tengah kaki agar lebih stabil ketika membuat pergerakan yang kompleks.
“Memang satu penghormatan apabila diberi peluang menjadi hos untuk pelancaran semula satu jenama bola sepak yang popular dan ikonik sepanjang masa. Kembalinya adidas Predator adalah satu peristiwa hebat dalam bola sepak sama ada kepada pemain atau kepada peminat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Football Republic, Vach Pillutla.
Football Republic merupakan pemasar rasmi untuk produk bola sepak premium adidas yang memenuhi keperluan peminat.
Ketua Pemasaran adidas Malaysia, David Wong menyatakan rasa gembira atas sejarah yang dicipta Predator dan Football Republic kerana menyediakan kedai barangan sukan lengkap kepada semua peminat sukan.
“adidas Predator muncul semasa generasi emas sukan bola sepak pada tahun 90-an. Ramai legenda bola sepak yang memulakan serta menamatkan karier mereka dengan but Predator. Melalui pelancaran semula ini, kami tidak sabar untuk melihat pemain bola sepak generasi seterusnya memahat sejarah mereka sendiri,” jelas David.
Kemunculan kali kedua Predator menyaksikan pemain seperti Paul Pogba, Dele Alli, Ivan Rakitic dan Mesut Ozil akan menggunakan but ini di atas padang. Ia boleh didapati di semua kedai-kedai adidas dan Football Republic di seluruh negara.
Sila layari adidas.com/football atau ikuti @adidasfootball dan #adidasMY di Instagram untuk sebarang maklumat berkaitan.
GALERI