JAM TANGAN PINTAR KHAS UNTUK WANITA
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan jam tangan pintar yang ada di pasaran kini lebih kepada pengguna lelaki atau bersifat unisex.
Menyedari wujudnya permintaan terhadap jam tangan pintar yang lebih feminin, Huawei baru-baru ini memperkenalkan produk berkenaan khas buat golongan wanita.
Dikenali sebagai Jewel dan Elegant, ia dihasil berasaskan kepada kejayaan pelancaran Huawei Watch pada tahun lalu. Kedua-dua jam tangan pintar itu tampil menyerlah dengan warna emas, tali yang nipis serta rekaan kemas dan beralun, di sebalik wajah Kristal Sapphire berbentuk bulat.
Model Elegant tampil dengan saduran badan berwarna emas (rose-gold). Manakala Jewel pula hadir dengan badan berwarna emas dan ditatah dengan 68 kristal Swarovski.
Kedua-dua jam tangan pintar ini mempunyai diameter 44mm, menjadikannya 2mm lebih lebar berbanding model terdahulu. Jam tangan Huawei Watch ini dikuasakan oleh OS Android 4.3 / iOS 8.2+.
Segala maklumat dipaparkan pada paparan AMOLED, bersama memori 512MB dan 4GB ROM. Bateri berkapasiti 300mAh itu dikatakan mampu bertahan selama 1.5 hari. Dengan menggunakan pengecas pin magnetik, tempoh mengecas adalah selama 90 minit.
Jika berminat, jam tangan Jewel serta Elegant boleh menjadi milik anda pada harga RM2,299 dan RM1,999 seunit.