THE EQUALIZER
Filem: The Equalizer
Genre: Aksi/drama/jenayah
Pengarah: Antoine Fuqua
Pelakon: Denzel Washington, Marton Csokas, Chloe Grace Moretz, David Harbour, Haley Bennet, Bill Pullman, Melissa Leo, David Meunier, Johnny Skourtis
Bintang: ****
Hollywood sememangnya merupakan pusat kitar semula filem terbesar di dunia. Kebanyakan filem yang diterbitkan ternyata produk kitar semula. Namun, cabaran menerbitkan semula filem kitar semula disahut Hollywood dengan penuh semangat untuk memunculkan sesuatu yang serba baharu oleh segelintir karyawannya yang layak dilabelkan sebagai hebat dan terbilang.
Dalam kes naskhah berjudul The Equalizer ialah pengarahnya, Antoine Fuqua. Memulakan karier sebagai pengarah klip muzik penyanyi-penyanyi tersohor seperti Toni Braxton dan Prince, Antoine kemudian menempa sukses sebagai pengarah filem berkaliber di Hollywood.
Filem arahannya pada tahun 2001, Training Day telah meletakkan nama Antoine pada tahap yang hebat apabila dia membantu pelakon utama filem itu, Denzel Washington merangkul trofi Oscar actor terbaik.
Justeru apabila Antoine dan Denzel sekali lagi bergabung untuk The Equalizer, jangkaan yang tinggi diletakkan terhadap naskhah adaptasi filem yang dihasilkan untuk siaran TV pada era 1980-an lakonan utama Edward Woorward sebagai Robert McCall .
Lelaki ini merupakan seorang bekas agen CIA yang membantu golongan miskin yang tiada punca untuk meraih bantuan apabila menjadi mangsa buli jenayah.
Namun tidak seperti Robert McCall lakonan versi TV yang merupakan lelaki kelahiran England, Robert McCall yang direalisasikan Denzel sebaliknya merupakan seorang lelaki kulit hitam yang bekerja di sebuah gedung jualan kelengkapan rumah di Boston, Massachusetts.
Dia hidup sendirian tanpa keluarga dan rutin hidupnya cukup sistematik. Robert selalunya makan malam di sebuah restoran kegemarannya. Suatu hari dia berkenalan dengan seorang pelacur remaja, Alina (Chloe Grace Moretz). Selepas itu, rutin hidupnya berubah apabila Alina cedera parah di tangan gerombolan gangster Rusia yang merupakan dalang industri pelacuran di Boston.
Demi membela nasib Alina, Robert lalu menggempur organisasi pelacuran tersebut dan perjalanan naskhah ini dipenuhi dengan aksi-aksi pertarungan pada tahap yang cukup ganas. Adakalanya mencecah tahap menggerunkan.
Namun, ia masih tidak dapat membezakan filem ini dengan naskhah-naskhah dari genre yang sama yang pernah menampilkan lakonan utama aktor seperti Bruce Willis dan Jason Statham.
Bagaimanapun, hasil garapan Antoine ternyata menyuntik sesuatu yang lain ke dalam naskhah ini. Di sebalik keganasan aksi-aksi pertarungan, apa yang unik adalah permainan psikologi minda, khususnya pada adegan membabitkan Robert dengan ketua gangster Rusia, Teddy (Marton Csokas). Ia direalisasikan dengan penuh stail, tetapi keganasan perang psikologi cukup terasa impaknya.
Biarpun fizikal Denzel Washington sebagai Robert McCall tidak menyakinkan dirinya sebagai hero filem aksi, namun daya mindanya sangat menyakinkan. Permainan bijak psikologi meletakkan naskhah ini pada tahap melebihi tahap filem-filem genre sama yang dikitar semula.