THE PURGE: ANARCHY
Filem: The Purge: Anarchy
Genre: Aksi/Thriller
Pengarah: James DeMonaco
Pelakon: Frank Grillo, Zach Gilford, Kiele Sanchez, Zoe Soul, Justina Machado, John Beasley dan Jack Conley
Bintang: ****
Pada tahun lalu, audiens diperkenalkan dengan naskhah The Purge yang memaparkan tentang kerajaan Amerika Syarikat (AS) sekitar tahun 2022 telah memperkenalkan buat pertama kalinya undang-undang baharu. Ia kononnya untuk menurunkan angka pengangguran serta mengekalkan kadar jenayah.
Bermula pada tarikh 21 Mac tahun tersebut, kerajaan AS membenarkan sebarang bentuk jenayah berleluasa tanpa sekatan undang-undang selama 12 jam dari pukul 7 malam sehingga 7 pagi keesokan harinya.
Jika The purge sekadar mengisahkan tentang sebuah keluarga yang terpaksa mengharungi tempoh 12 jam itu di dalam rumah agam mereka, sekuel yang diberi judul The Purge: Anarchy ini menampilkan apa yang tiada dalam The Purge. Plot naskhah ini ternyata berkembang luas jauh di luar garisan daripada apa yang pernah dipaparkan dalam The Purge.
Paling mengujakan, audiens dibawa menyaksikan tempoh 12 jam ‘neraka dunia’ dari perspektif lima individu berbeza. Ia berlaku setahun selepas apa yang dipaparkan dalam The Purge.
Di bandar raya Los Angeles, pasangan suami isteri yang memandu pulang ke rumah gagal mencecah destinasi mereka itu apabila kereta mereka rosak di tengah jalan.
Seorang ibu dan anak perempuan remajanya pula terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka yang dipecah masuk. Seorang polis pula keluar untuk membalas dendam untuk membunuh lelaki yang sebelum ini telah melanggar anaknya sehingga mati.
Kelima-lima individu tersebut akhirnya bersua secara tidak sengaja dan perlu bersatu untuk terus hidup dalam menharungi tempoh 12 jam tersebut.
Perjalanan ceritanya memang kedengaran agak klise. Namun, semakin jauh menerokai perjalanan naskhah ini, semakin tidak dapat dijangka apa yang bakal berlaku, malah ada kejutan menanti.
Ini menjadikan ia sebuah naskhah yang mendebarkan dan menarik untuk diikuti perjalanan ceritanya. Ia juga bukan sekadar sebuah filem aksi-thriller kosong. Filem ini membawa persoalan sosial yang menjadi kacau-bilau apabila undang-undang dimansuhkan.
Mesejnya jelas tentang perbezaan darjat yang wujud di antara individu kaya dan miskin. Sudah semestinya yang kaya memanipulasi yang miskin. Namun adakah yang miskin akan terus berdiam diri terhadap apa yang dilakukan yang kaya terhadap mereka? Apakah kejahatan juga harus dibalas dengan kejahatan?
Apa yang pasti, jika ada lagi sebuah sekuel The Purge, ia pastinya menjadi satu cabaran untuk mewujudkan naskhah yang lebih baik berbanding The Purge: Anarchy ini.