AVENGERS: AGE OF ULTRON
Filem: Avengers : Age of Ultron
Pengarah: Joss Whedon
Penerbit: Walt Disney Studios
Tarikh tayangan: 23 Mei, 2015
Pelakon: Robert Downey Jr., Chris Hemsworth, Mark Ruffalo, Chris Evans, Scarlett Johansson, Jeremy Renner, Samuel L. Jackson, James Spader, Paul Bettany, Aaron Taylor-Johnson, Elizabeth Olsen, Claudia Kim
Bintang: ****
Dalam kalangan audiens tempatan, terdengar rungutan mendakwa naskhah Avengers:Age of Ultron ini tidak sehebat siri filem pertamanya, The Avengers (2012).
Namun, di seluruh dunia filem sekuel tersebut ternyata sukses mengegar pawagam apabila dalam tempoh 10 hari ditayangkan, kutipan terkumpulnya mencecah AS$287 juta (RM1 bilion).
Melontarkan diri ke dalam naskhah ini, ternyata ia sebuah karya yang kompleks dengan sangat ramai karakter penting yang perlu disusunkan dalam plot penceritaannya.
Mungkin disebabkan faktor inilah yang menyebabkan sebahagian audiens filem di Malaysia menganggap karya ini sebagai tidak yang sebenarnya berpunca daripada sikap mereka yang enggan berfikir tatkala menonton wayang di pawagam.
The Avengers sebelum ini menampilkan enam watak hero dengan sebahagian besarnya boleh dikategorikan sebagai adiwira terdiri daripada Iron Man (Robert Downey Jr.), Thor (Chris Hemsworth), Hulk (Mark Ruffalo), Captain America (Chris Evans), Black Widow (Scarlett Johannson) dan Hawkeye (Jeremy Renner).
Avengers: Age of Ultron bagaimanapun menyuntik lebih banyak aksi. Bagi merealisasikannya, lebih banyak karakter adiwira pun ditampilkan.
Selain barisan anggota Avengers siri filem pertama yang masih dikekalkan, kali ini, dua beradik kembar, Peitro dan Wanda (Aaron Taylor-Johnson dan Elizabeth Olsen) telah diperkenalkan buat pertama kalinya.
Peitro dan Wanda masing-masing dikenali sebagai Quicksilver (yang berkebolehan bergerak sepantas kilat) dan Scarlett Witch yang memiliki kuasa luar biasa menguasai minda individu lain.
Babak Avengers: Age of Ultron bermula dengan kesemua anggota Avengers dari filem pertama menggempur organisasi bawah tanah, Hydra yang diketuai Baron Wolfgang von Strucker.
Hydra menjalankan eskperimen terhadap manusia hidup dengan memanipulasi cokmar berkuasa luar biasa yang dicuri daripada thor dan disembunyikan Strucker di Sokovia, negara kelahiran Quicksilver dan Scarlett Witch.
Biarpun Strucker mendapat bantuan Quicksilver dan Scarlett Witch, namun Avengers berjaya merampas kembali cokmar tersebut. Sebelum itu, ketika bertarung, Tony Stark (Iron Man) telah dimanipulasikan mindanya oleh Scarlett Witch yang terkejut apabila apabila melihat masa depan dunia yang musnah.
Ia menyebabkan Stark merancang untuk membina sistem pertahanan bumi menggunakan kepintaran buatan dikenali sebagai Ultron di luar pengetahuan anggota Avengers yang lain kecuali Dr. Bruce Banner (Hulk).
Namun, Ultron sebaliknya berpaling tadah terhadap Stark dengan bercita-cita mahu mencipta evolusi – menggantikan manusia dengan robot-robot sebagai populasi bumi.
Selepas menyerang Avengers, Ultron merampas cokmar Thor dan membawanya kembali ke Sokovia untuk menaik taraf bahan kajian Strucker bagi mencipta robot-robot dron demi merealisasikan impiannya itu.
Memiliki plot yang agak kompleks melibatkan banyak watak, itulah yang menjadikan naskhah ini tidak klise. Biarpun menampilkan agak banyak watak, penyusunan direalisasikan dengan bijak sehingga semua watak terasa penting dalam menggerakkan perjalanan filem berdurasi 141 minit ini.
Di sebalik pelbagai aksi hebat, naskhah ini juga dengan bijak disuntik elemen emosi yang menyentuh kalbu seperti percintaan ‘tidak kesampaian’ antara Black Widow dan Hulk. Selain hubungan kekeluargaan Hawkeye bersama isteri dan dua orang anaknya.
Apa yang menjadikan naskhah ini agak istimewa dan berbeza dengan filem-filem lain sudah tentu babak akhirnya yang memukau. Saksikan sendiri bagaimana Ultron menerbangkan sebahagian negara Kosovia dengan beribu-ribu penduduknya yang terperangkap di situ dan menjadikannya ‘bom jangka’ mega untuk meletupkan bumi bagi memusnahkan seluruh hidupannya.
Memang Avengers: Age of Ultron lebih kompleks berbanding siri pertamanya. Namun dengan segala ramuan yang telah disuntik itu, ia ternyata satu naskhah yang telah dinaik taraf dari segi kehebatannya. – YUSMAN AWANG