Artikel Pilihan

Diesel habis?

Ini bukan benda lucu. Sejak kebelakangan ini, kehabisan bekalan diesel sangat kronik terutama di bandar-bandar besar. Saya tidak pasti mekanisme jenis apa menetapkan kuota diesel yang layak diperoleh oleh setiap stesen minyak. Namun masalah ini menjadi sangat ketara apabila menjelang hujung bulan. Pada 28 Julai lalu, saya mencari diesel di enam buah stesen Petronas, tiga stesen Shell, satu BHP dan Caltex. Semuanya ditampal dengan nota yang sama “Maaf, bekalan diesel kami habis”.

Kalau tidak silap saya, kuota diesel dilaksanakan sejak tahun lepas. Ia sebagai langkah untuk mengelakkan bekalan berlebihan yang menyebabkan berlakunya salah guna dalam industri. Tidak kisahlah apa juga tujuan yang dibuat. Tetapi natijah terhadap pengguna biasa seperti saya memang tidak patut berlaku.

Kehabisan kuota diesel menunjukkan bahawa sistem kita cukup lemah untuk menangani masalah ketirisan bekalan yang sepatutnya tidak menyusahkan rakyat bawahan. Saya percaya, masalah ini turut menjadi dilema sepanjang hujung bulan bagi kenderaan berat, termasuklah bas sekolah. Anda fikir ini benda kecil?

Sebenarnya, kita memang ada masalah dengan sistem. Kadang-kadang ada idea yang bagus secara teorinya tapi bila sampai peringkat perlaksanaan, cacat celanya boleh nampak dengan ketara. Kuota diesel secara teori adalah bagus. Secara praktikal juga bagus kerana setiap stesen minyak diberikan jumlah tertentu berdasarkan penggunaan bulanan.

Masalahnya, apa yang tidak dikaji adalah pertambahan bilangan kenderaan berenjin diesel. Bukan setakat trak pikap, tetapi termasuklah Hiace, Volvo XC90, Audi Q7, BMW 530D, 320D dan Renault Kangoo yang murah itu. Ada sesiapa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang mahu ambil peduli?

Saya tak fikir ada, melainkan isu ini melibatkan kereta-kereta menteri. Cuba buat kuota petrol kalau tak percaya. Asasnya masih sama, kita ada masalah sistem. Buat sistem, tetapi tidak boleh fikir akibatnya. Lebih parah, pembuat polisi tidak ada pelan kontigensi untuk menyelesaikannya. Takkan nak suruh lori semua parking dekat KPDNKK sana?

Dengar sini pihak yang berwajib dan bijak pandai di atas sana. Tidak guna bicara pasal harga kereta murah, AP 2015, Dasar Automotif Nasional yang komprehensif, teknologi hijau atau segala bagai. Ini masalah paling asas. Selesaikan dulu masalah paling bawah ni dulu. Ini ibarat cerita nak buat projek ikan masin, tapi tali pukat pun tak jahit lagi. Apa bebal punya pelan ni?

Masalah kekurangan diesel bukanlah benda baru. Seingat saya sekitar tahun 2005, masalahnya lebih kronik. Sehinggakan ada kawan saya terpaksa tinggalkan lorinya di Ipoh sebab langsung tak ada diesel. Dia gamble’ dengan terus memandu menggunakan saki-baki diesel yang ada dalam tangki. Di Pulau Pinang pun seharian dia mencari diesel.

Rasionalnya entah di mana. Masalah sistem ini sebenarnya memalukan negara secara keseluruhannya. Dalam keghairahan menuju negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, kita seolah-olah menuju ke tahun 1920.

Jangan nanti ada pak menteri kata, kalau tak ada disel, isilah petrol dalam Hilux. Kalau tak mau isi petrol, naik bas atau jalan kaki. Memang power menteri-menteri Malaysia ni!

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button