SALADIN RALLYING MENERUSKAN MUSIM RALI KE THAILAND
Saladin Rallying menuju ke Thailand untuk pusingan pertama RAAT Thailand Rally Championship 2024 hujung minggu ini. Pusingan pertama yang berpusat di wilayah Chachoengsoa 105 km utara Bangkok akan menandakan titik permulaan pasukan ini bagi musim 2024.
Untuk pusingan ini, Saladin Rallying menyenaraikan Saladin Mazlan dan Juruarah tempatan Ittipon Simaraks bersaing dalam kelas RC1 bersama jentera Subaru Impreza GC8 dan untuk kelas RC 2.3 Ibrahim Saladin, akan memandu Satria Neo bersama Juruarah Arish Qutb. Sebanyak 53 penyertaan akan bertanding dalam perlumbaan rali tersebut.
Saladin Rallying akan mengambil bahagian dalam semua 4 pusingan Kejohanan Rali RAAT Thailand 2024 dengan sasaran kejuaraan keseluruhan. Satu kejayaan yang pernah dilakukan oleh Saladin pada masa lalu. Namun kali ini dia menghadapi tugas yang sukar kerana harus bersaing dengan kereta rali yang lebih baharu dan berteknologi tinggi, lebih ringan dan pantas berbanding Subaru Impreza GC8 keluaran tahun 90an. Walau pun mungkin sudah berusia, Subaru Impreza GC8 ini masih lagi sebuah kereta rali yang kompetitif jika digandingkan dengan pemandu yang berpengalaman. Sama seperti Proton Satria Neo Ibrahim Saladin, ia mempunyai pakej yang baik untuk bersaing dengan baik dalam kelasnya.
Usaha berpasukan untuk acara ini dibiayai sendiri kerana kekurangan penaja utama. Memenangi acara antarabangsa tanpa penaja utama adalah sesuatu yang pasukan Malaysia nampaknya mahir. Kes yang serupa juga seperti pasukan pasukan TKKR dalam Asia Road Racing Championship Asia 2023. Mereka menyertai acara itu sebagai pasukan persendirian tetapi berjaya memenangi kejuaraan keseluruhan menewaskan pasukan yang disokong penaja besar. Pencapaian itu menghantar gelombang kejutan ke seluruh komuniti sukan permotoran. Ini akan menjadi pemangkin semangat untuk pasukan Saladin Rallying untuk beraksi di Thailand hujung minggu ini.
Pasukan logistik yang terdiri daripada jurutera, kru bersama kereta rali memulakan pemanduan darat selama 2 hari dengan jarak keseluruhan 1580 km ke Chachoengsoa dan sekarang ini telah pun selamat tiba di lokasi perlumbaan. Keseluruhan pasukan dijangka pulang sejurus selepas acara tersebut dan tiba di Malaysia sebelum Aidilfitri. Ia adalah perlumbaan mengejar masa.
Kredit Foto : FB Ittipon Simaraks
BACA : SALADIN MAZLAN CEMERLANG DI THAILAND RALLY CHAMPIONSHIP; KEDUA KESELURUHAN & PERTAMA DALAM KELAS RC1
BACA : SALADIN MAZLAN MELAKUKANNYA SEKALI LAGI. PODIUM DI RAAT THAILAND RALLY CHAMPIONSHIP RD. 4