Buletin

SARAWAK BAKAL ADA STESEN PENGISIAN HIDROGEN BERSEPADU JENAMA PETROS

Sarawak bakal merealisasikan impiannya untuk memiliki Stesen Pengisian Hidrogen Bersepadu dibawah jenama syarikat petroleumnya sendiri, PETROS. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy, Robert Hardin, stesen pertama PETROS akan dibina di kawasan Darul Hana, Kuching.

“Sasaran kita bermula dengan pengangkutan awam dan kenderaan berat. Ini kerana kita ingin memenuhi keperluan sektor pengangkutan hijau di negeri ini selain memberi manfaat besar ke atas penggunaannya.

“Sekiranya anda bandingkan penggunaan hidrogen dan batteri kenderaan hybrid, ia lebih ringan berbanding kenderaan biasa,” ujarnya dalam perkongsian eksklusif bersama Astro AWANI.

Inisiatif adalah untuk menyokong usaha Sarawak mengurangkan pelepasan karbon dioksida berlebihan, sekali gus menjadi penyumbang kepada pencemaran udara.

“Ekonomi hidrogen Sarawak ini bukan yang pertama di Malaysia tetapi pertama di rantau Asia Tenggara. Seperti yang kita lihat di Jepun, mereka memerlukan tenaga hidrogen serta tenaga hijau dalam kuantiti yang besar untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke udara.

“Saya percaya kita berada pada landasan yang tepat untuk mengeluarkan tenaga hidrogen tersendiri dengan kos kompetitif. Ini membolehkan Sarawak mengeksport sumber tenaga ini ke pasaran global,” tambah Robert.

Langkah itu mampu memacu Sarawak dalam usaha pengekalan kemampanan biodiversitinya dan mengatasi sumber bahan api fosil yang terhad.

Memberi gambaran terhadap rupa stesen itu nanti, Robert memberitahu ia akan dilengkapi tiga fungsi utama iaitu pam minyak, tempat pengisian hidrogen serta kemudahan khas bagi mengecas kenderaan hibrid.

Stesen itu dijangka mula beroperasi menjelang hujung tahun 2021 dan melibatkan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Petroleum Sarawak Berhad, PETROS.

Majlis pecah tanah bagi stesesn berkenaan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Selasa depan. – Astro AWANI 

Google ads
Back to top button