Buletin

PKPB: SEJUTA PEKERJA DIARAH KERJA DARI RUMAH BERMULA KHAMIS

Kerajaan memutuskan pekerja-pekerja bagi sektor awam dan swasta di peringkat pengurusan serta pengawasan tidak perlu hadir ke pejabat tetapi hanya bekerja dari rumah (Work From Home) bermula Khamis ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu membabitkan kira-kira sejuta pekerja di Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Labuan.

“Semalam kita mengesan sebanyak sembilan kluster dari tempat kerja di Selangor. Ini berikutan mereka yang berada di kawasan merah terpaksa ke tempat kerja dan mendapat rungutan daripada ramai pihak mengenai kurangnya kawalan, memandangkan kilang-kilang dibuka seperti biasa.

“Jadi, kita memutuskan pekerja di peringkat pengurusan di sektor awam dan swasta tidak perlu hadir di pejabat.

“Kita difahamkan, mereka yang terbabit adalah seramai hampir 1 juta pekerja dapat dikurangkan di pejabat, iaitu membabitkan 800,000 pekerja dalam sektor industri dan 200,000 penjawat awam,” katanya dalam sidang akhbar harian keselamatan Covid-19.

Beliau berkata, keputusan itu dilakukan untuk memutuskan rantaian Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Ismail Sabri menjelaskan, sektor industri yang akan terbabit untuk bekerja di rumah akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, ada kumpulan pekerja yang perlu hadir ke pejabat antaranya mereka yang terbabit dalam urusan kewangan dan pembayaran, penguatkuasaan dan kebajikan.

“Mereka yang perlu hadir ke pejabat perlu melakukan ujian saringan yang akan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Pekerja yang tinggal di kawasan zon merah perlu melakukan ujian saringan. Kos akan ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) jika majikan mencarum,” ujarnya.

Google ads
Back to top button