Buletin

BINA JALAN TAR SETEBAL 2 INCI, KAUT UNTUNG RM800 JUTA!

Dua orang pengarah syarikat ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melakukan rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai ratusan juta ringgit daripada Kementerian Pertahanan. 

Suspek yang bergelar Datuk itu dikatakan telah diberi amanah bagi melaksanakan 10 Projek Menaik Taraf Jalan di Negeri Sarawak bernilai RM800 juta. Malangnya, akibat sifat tamak, mereka didakwa membina jalan raya berkualiti rendah. 

Jalan tersebut didakwa hanya dilapisi tar setebal kira-kira dua inci sahaja di atas permukaan tanah. Sedangkan di dalam syarat kontrak, jalan itu mestilah mempunyai lapisan batu kerikil dan pasir. Akibatnya, jalan berkenaan cepat rosa apabila dilalui oleh kenderaan berat terutama lori balak. 

Keadaan itu nyata menyusahkan penduduk yang menggunakan jalan sebagai penghubung dengan kawasan pedalaman. 

Menurut sumber, kedua-dua pengarah syarikat berusia 44 tahun itu merupakan rakan kongsi yang memiliki tiga buah syarikat yang memonopoli projek berkaitan. Mereka ditahan dalam satu operasi khas di Kuching, Sarawak semalam.

Siasatan mendapati projek pembinaan jalan yang menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak itu di bawah Kementerian Pertahanan dan dianugerahkan kepada syarikat berkenaan sejak 2010 hingga 2016. Masyarakat setempat membuat banyak aduan berhubung keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi.

Projek jalan dinamakan Projek Jiwa Murni itu melibatkan kawasan di Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga.

“Ada jalan tidak lagi dapat digunakan dan rosak selepas beberapa bulan dibina. Hasil kajian teknikal mendapati jalan ini langsung tidak menepati piawaian pembinaan jalan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jalan ini hanya diletakkan lapisan tar nipis setebal dua inci di atas permukaan tanah. Tiada lapisan batu kerikil dan pasir seperti dalam syarat kontrak,” katanya.

Kerajaan Negeri Sarawak difahamkan udah mengarahkan JKR Negeri untuk membaik pulih dan menaik taraf jalan berkenaan kerana kegagalan kontraktor yang dilantik melaksanakannya. Ini menyebabkan kos bagi membaik pulih bertambah sekali ganda. Ketirisan yang berlaku menyebabkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit.

“Selain itu, perkara paling mengejutkan adalah mengenai pelantikan empat kontraktor baharu oleh JKR Negeri. Ini kerana salah satu syarikat yang mendapat projek menaik taraf dan membaikpulih jalan itu disyaki dimiliki oleh pengarah syarikat yang ditahan,” jelas sumber itu lagi.

Seharusnya, syarikat di bawah kawalan suspek perlu disenarai hitam daripada memperoleh projek atas faktor kegagalan mereka melaksanakannya. Mereka perlu dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka diberikan lagi projek dengan menggunakan nama syarikat lain.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan itu.

Menurut Ahmad Khusairi, siasatan kes itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Pertahanan selepas laporan audit dalaman kementerian menunjukkan kegagalan projek terbabit. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button