Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG HYUNDAI KONA EV. BAKAL DILANCARKAN Q4 2021?

Kerajaan Malaysia bakal mengumumukan polis kenderaan mesra alam yang akan memberi penekanan pada teknologi kereta berkuasa elektrik sebagai satu langkah untuk mengurangkan impak pada alam sekitar. Polisi baru ini bakal dibentangkan dalam parlimen semasa perbahasan belanjawan tahun 2022.

Keadaan sedikit sebanyak memberi kelegaan pada pengguna dan pemain industri automotif yang masih tertunggu-tunggu polisi kenderaan mesra alam yang bakal digariskan. Ini kerana negara jiran seperti Thailand dan juga Indonesia sudah jauh ke depan dalam mempelopori teknologi kenderaan mesra alam.

Salah satu pemain industri automotif yang giat membangunkan kenderaan mesra alam ialah Hyundai yang telah memperkenalkan kenderaan teknologi hibrid iaitu Ionic pada harga mampu milik. Di negara luar, Hyundai juga memiliki Hyundai Kona EV serta sub jenama Ionic khusu untuk EV.

Bercakap berkenaan dengan Kona EV, di Amerika ia dijual dengan harga permulaan sekitar RM 140,000 ringgit. Manakala di negara jiran iaitu Thailand ia dijual pada harga RM 237,000. Buat masa ini khabar angin mengatakan bahawa model ini bakal dilancarkan di Malaysia menjelang suku keempat 2021.

Antara fakta pantas berkenaan Hyundai Kona EV ialah

1. Hyundai Kona EV adalah sama seperti dengan Kona versi petrol, dengan enjin telah digantikan dengan satu unit motor elektrik dengan magnet kekal yang akan memacu roda depan. Terdapat 2 pilihan motor elektrik samaada menghasilkan 136 kuasa kuda ataupun 204 kuasa kuda. Kedua dua motor menghasilkan 395Nm tork

2. Bagi versi 136 kuasa kuda, Kona EV akan dibekalkan dengan bateri Lithium Ion Polimer sebesar 39.2kWh yang menghasilkan 327 volt. Ini membolehkan ia dipandu sejauh 312km mengikut standard ujian WLTP (atau 345 NEDC)

3. Bagi varian 204 kuasa kuda, ia akan dipasang dengan bateri lithium ion polimer sebesar 64kWh yang menghasilkan 356 volt. Kona EV boleh dipandu sejauh 482km mengikut ujian WLTP (atau 546km NEDC).

4. Dari segi prestasi, Kona EV boleh melakukan pecutan pantas 0-100km/j dalam masa 7.6 saat sahaja. Halaju maksima pula dihadkan pada 167km/j. Bagi model 136 kuasa kuda, pecutan 0-100km/j dibuat dalam masa 9.5 saat dan halaju maksima ialah 155km/j

5. Dalam aspek pengecasan bateri dari 0% kepada 100%, model 136 kuasa kuda memerlukan sehingga 19 jam jika disambung terus dengan plug 3 pin arus ulang alik. Pemasangan Wallbox AC charger memendekkan masa pengecasan kepada 6 jam 10 minit. Jika dicaj dengan sistem pengecasan pantas DC, masa pengecasan menjadi 54 minit sahaja

6. Bagi model 204 kuasa kuda, pengecasan dengan soket rumah akan mengambil masa 31 jam disebabkan bateri yang bersaiz besar. Tapi ia akan menjadi 9 jam 35 minit dengan penggunaan Wallbox AC charger. Penggunaan DC Fast Charging akan memendekkan masa pengecasan kepada 54 minit sahaja.

7. Dari segi saiz, Kona EV adalah sama dengan Kona berkuasa petrol yang memiliki 4180mm panjang, 1800mm lebar, dan 1570mm tinggi. Jarak antara roda pula ialah 2600mm yang mampu memuatkan 5 penumpang dalam satu masa serta ruang bagasi sebesar 332. Jika tempat duduk belakang dilipat, ruang ini boleh dibesarkan menjadi 1114 liter

8. Berbeza dengan Hyundai Kona berkuasa petrol yang menggunakan suspensi belakang torsion beam, Hyundai Kona EV menggunakan suspensi multi-link yang lebih kompleks, brek cakera depan belakang tapi menggunakan tayar yang lebih kecil sedikit iaitu 215 55 R17.

9. Hyundai Kona EV juga dilengkapi dengan fungsi brek regeneratif yang akan mengekstrak tenaga kinetik menjadi tenaga elektrik. Jika tidak tenaga kinetik ini akan terbazir menjadi tenaga haba sahaja.

10. Dalam aspek keselamatan, Kona EV dilengkapkan dengan ciri keselamatan Hyundai Smart Sense yang merangkumi Blind Spot Collision Warning, 6 beg keselamatan udara, Vehicle Stability Programme dan juga amaran mengundur.

11. Antara ciri lain yang menarik ialah Head up Display, pengecasan telefon tanpa wayar, tempat duduk pemandu dengan penyejuk, dan sistem penyaman udara hanya untuk pemandu sahaja jika memandu tanpa penumpang bagi menjimatkan kuasa elektrik.

Diharapkan polisi kenderaan elektrik yang bakal diumumkan nanti akan memberikan insentif kepada pemain industri dan juga pembeli bagi menggalakkan lagi pemilikan EV pada harga mampu milik.

Google ads
Back to top button