Buletin

NAZA ITALIA LANCAR FERRARI PORTOFINO M. BERMULA RM998K

Naza Italia baru-baru ini memperkenalkan Ferrari Portofino M ke pasaran tempatan. Ia merupakan evolusi kepada Ferrari 2+ GT Spider yang dilancarkan secara dalam talian pada September tahun lalu.

Huruf M itu bermaksud ‘Modificata’, merujuk kepada jentera yang telah menerima penambahbaikan dari segi prestasinya.  

Portofino M hadir dengan bumbung hard top. Ia dikuasakan oleh enjin V8 turbo bersesaran 3,855cc yang mampu menjana 620hp, 20hp lebih tinggi berbanding model Portofino standard dan tork 760Nm pada 5,750rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan.

Kotak gear itu berbeza berbanding apa yang dipasang pada SF Stradale kerana ia mempunyai nisbah gear lebih panjang dan dilengkapi gear undur mekanikal.

Rangkaian kuasa yang telah ditambah baik itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 3.45 saat dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 320km/j.

Ferrari memberitahu jentera itu lebih mudah dipandu di bandar dengan adanya ciri Start/Stop. Dinamik pemanduan pula dibantu oleh ciri Side Slip Control (SSC) yang mengkoordinasikan sistem kawalan elektronik seperti EPS, VDC, ABS, EBD, F1-TCS, E-Diff3, SSC 6.0, FDE (Ferrari Dynamic Enhancer) dan SCM-E Frs.

Dari segi penampilan, Portofino M kini hadir dengan corong udara baharu. Gril radiator pula dipasang dengan kemasan aluminium berwarna kontras. Pada bahagian belakang, sistem ekzos baharu tidak lagi memerlukan silencer.

Ruang kabin pula diserlahkan dengan rekaan minimalis bersama kemasan premium. Papan pemuka dihuni oleh skrin sentuh bersaiz 7 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Bagi memberi ketenangan minda kepada pelanggan, Portofino M didatangkan bersama program penyelenggaraan lanjutan selama tujuh tahun. Servis perlu dibuat pada setiap 20,000km atau setahun sekali tanpa had perbatuan.

Portofino M ditawarkan pada harga bermula RM998,000 (tidak termasuk duti, pilihan aksesori, cukai dan insurans).

GALERI

Google ads
Back to top button