Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG OPEN DECK, CLOSED DECK DAN SEMI OPEN DECK

Mula – mula sekali penulis nak minta maaf sebab lepas menulis banyak artikel pasal enjin, penulis lupa nak perkenalkan komponen dan rekaan asas enjin itu sendiri iaitu blok enjin. Blok enjin menjadi asas rekaan enjin dimana piston akan beraksi dan proses pembakaran berlaku. Buka saja bonet depan, anda akan nampak penutup enjin, kepala silinder dan blok enjin

Tapi hari ini kita akan kenal dengan block deck dimana kepala silinder atau cylinder head bercantum dengan blok enjin. Kalau anda rajin bukak kepala silinder dari blok anda akan dapat lihat rekaan laluan cecair penyejuk enjin yang beredar dari blok enjin ke kepala silinder.

Struktur rekaan laluan cecair penyejuk ini boleh dibahagi kepada 3 iaitu open deck, semi open deck ataupun closed deck.

Rekaan open deck memiliki dinding silinder yang dibina tanpa sokongan tambahan antara silinder dengan blok enjin. Rekaan ini membenarkan cecair penyejuk mengalir dengan mudah tanpa halangan bagi memberikan kecekapan penyejukan enjin yang bagus.

Ia biasa dijumpai pada enjin yang dibuat daripada aluminium dan menghasilkan kuasa kuda yang rendah. Ia mudah untuk dibuat di kilang dan murah untuk dihasilkan. Namun kelemahan utamanya ialah kekurangan sokongan antara silinder dengan enjin blok menyebabkan enjin ini kurang kuat

open deck

Jadi ia tidak sesuai untuk dipasang dengan sistem NOS dan pemilik juga harus fikir banyak kali sebelum memasang sistem turbo dalam enjin ini kerana tekanan yang terlampau tinggi boleh merosakkan struktur silinder. Namun masalah utama ialah jika berlaku knocking, tekanan yang dihasilkan cukup kuat sehingga boleh menyebabkan silinder menjadi retak.

Rekaan Semi Open Deck biasa digunakan pada enjin yang ditala untuk menghasilkan lebih kuasa kuda seperti enjin aluminium turbo. Dengan beberepa struktur sokongan yang terletak bertentangan antara satu sama lain, rekaan enjin ini mampu menahan tekanan yang lebih tinggi apabila digabungkan dengan turbo

semi open deck

Sesetengah enjin mampu menahan setinggi 200kpa. Tapi enjin semi open deck ini agak susah untuk dihasilkan berbanding dengan enjin open deck. Selepas melalui proses casting, enjin ini perlu melalui proses machining. Walaupun mampu menghasilkan lebih kuasa, dalam keadaan ekstrim struktur ini masih boleh jahanam jika diberi tekanan tinggi secara berlebihan

Sistem closed deck biasanya dijumpai pada blok enjin keluli ataupun aluminium yang dibuat khas untuk menghasilkan kuasa yang lebih tinggi. Ia merupakan sistem yang sangat bagus untuk digunakan dalam enjin yang memiliki nisbah mampatan tinggi, boleh diperah pada RPM yang tinggi dan dikenakan boost yang tinggi dari sistem turbo

closed deck

Jika diperhatikan secara fizikal rekaan ini hampir sama dengan rekaan semi open deck, namun laluan cecair penyejuk adalah jauh lebih kecil. Namun enjin blok jenis ini lebih susah untuk dihasilkan dan memerlukan prosedur casting yang berbeza. Selain daripada lebih tahan lasak rekaan ini juga dipilih pada kereta sport kerana ketegaran enjin adalah lebih baik

Secara umum kita boleh nyatakan rekaan closed deck design adalah lebih baik daripada open deck kerana struktur enjin lebih kuat dan memiliki leboh banyak sokongan. Manakala sistem open deck lebih bagus dari segi penyejukan tapi memerlukan beberapa pengubahsuaian untuk menjana lebih banyak kuasa. Namun kenyataan ini walaupun betul tapi agak ketinggalan.

Contohnya kita mabil enjin BMW N54 yang bersaiz 3000cc 6 silinder sebaris yang menghasilkan 302 kuasa kuda dan 400Nm tork. BMW menghasilkan enjin ini daripada aluminium dengan rekaan open deck. Namun syarikat Alpina berjaya menala enjin ini sehingga 402 kuasa kuda dan 504Nm tork tanpa sebarang masalah. Terdapat beberapa projek modifikasi yang menggunakan enjin ini mampu mengekstrak sehingga 700 kuasa kuda pada roda tanpa masalah.

Enjin B58 closed deck

Langkah menggunakan rekaan open deck bukan sahaja dibuat oleh BMW tapi ia diikuti oleh pengeluar lain seperti Honda Civic Type R dengan enjin K20C, Ford EcoBoost, dan juga Volvo T5. Salah satu perkara yang membolehkan enjin open deck ini berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah ialah kemajuan sistem elektronik yang digunakan sekarang berbanding dengan 20 tahun lepas.

Enjin open deck lebih disukai oleh pengeluar kereta kerana ia boleh dihasilkan dengan kaedah high pressure die casting yang lebih pantas dan murah berbanding dengan enjin closed deck. Tambahan pula proses casting menjadi semakin baik dari aspek teknologi dan kualiti. Ini akan menghasilkan enjin open deck yang lebih baik berbanding 10 tahun lepas.

Salah satu aspek yang bertambah baik ialah kemajuan dalam sistem kawalan elektronik yang membolehkan proses pembakaran berlaku dengan lebih tepat dan jitu. Sebaik sahaja pemilik memasang dan menala enjin mereka dengan sistem turbo, tekanan yang terhasil mampu menyebabkan masalah knocking. Jika masalah knocking menjadi serius, ia boleh menyebabkan silinder menjadi retak.

K20C open deck

Sistem kawalan elektronik ini mampu mengelakkan masalah knocking dengan mengubah pemasaan enjin dengan cepat dan tepat. Namun sesetengah pengeluar seperti BMW terus menggunakan sistem closed deck bagi enjin B58 BMW Z4 dan Toyota Supra mereka. Ia dibangunkan khas kerana BMW dan Toyota tahu pasti ada tuner yang bijak yang boleh mengekstrak 1000 kuasa kuda daripada enjin ini.

Angka ini ialah 3 kali ganda lebih daripada kuasa kuda asal yang dihasilkan oleh enjin asal. Dan enjin closed deck ini terbukti ia mampu melakukannya tanpa sebarang masalah.

Google ads
Back to top button