Artikel Pilihan

HONDA BEAT. DI SINI BERMULANYA KELAHIRAN S2000

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Bercerita mengenai segmen Kei-Car, pastinya hanya 2 jenama yang biasa disebut-sebut oleh rakyat Malaysia. Tak Daihatsu, mesti Suzuki.

Namun sebenarnya jenama Honda turut bersaing di dalam segmen Kei Car ini. Jentera tersebut bernama Honda Beat.

Geng H, ini cerita anda.

Umum mengetahui bahawa faktor utama yang menjadikan sesebuah jentera itu tergolong di dalam segmen Kei Car adalah dimensinya yang kecil serta sesaran enjin yang kecil. Namun tiada undang-undang untuk menyekat kreativiti pereka untuk membuatkan sesebuah jentera Kei Car itu sangat menarik.

Honda Beat tergolong di dalam golongan jentera Kei Car yang “Sporty” sepertimana Suzuki Cappuccino dan Autozam AZ-1.

Untuk pengetahuan anda, rekaan Honda Beat ini direka oleh firma rekaan automotif terkenal dari Itali iaitu Pininfarina. Ye Tuan-Tuan, Pininfarina yang biasa reka Ferrari dan Honda NSX tu. Power bukan ?

Sekarang kita pergi kepada spesifikasi jentera ini.

Jentera ini menerima badan jenis “Monocoque” iaitu cesi bersambung sekali dengan badan. Bukan berasingan. Cesi ini kemudiannya dilengkapi dengan set suspensi jenis “McPherson Strut” bagi keempat-empat penjuru.

Jentera Honda Beat ini dijana oleh enjin bersesaran 656cc berkod E07A 3 selinder. Nilai Bore x Stroke adalah 66mm x 64mm. Enjin ini menggunakan satu sahaja Aci Sesondol (SOHC) bagi menggerakkan 12 injap. Jumlah injap bagi setiap selinder adalah 4 unit.

Nisbah mampatan enjin ini adalah pada kadar 10:1. Sistem bahanapi jentera ini dikawal sepenuhnya secara elektronik melalui sistem Honda PGM-Fi .

Yang menariknya, pihak Honda tidak menggunakan sistem pendesak turbo mahupun “Supercharger” untuk enjin ini. Pesaingnya Suzuki Cappuccino dan Autozam AZ-1 menggunakan enjin turbo.

“Purely NA” Mat Saleh kata. Namun, ia tetap mengeluarkan kuasa yang sama seperti kedua-dua model pesaingnya iaitu 63hp pada 8,100rpm dan 60Nm pada 7,000rpm.

Redline enjin ini ditetapkan pada 8,500. Menjerit Tuan-Tuan. Yang membantu enjin ini mencapai puncak kuasa yang tinggi adalah pihak Honda menggunakan sistem “Multi Throttle Responsive Engine Control”(MTREC) dimana “Individual Throttle Body” digunakan dan dikawal secara “Drive by Wire”.

Biasa korang dengar 4 Throttle kan ? Yang ni 3 Throttle, sebab cuma ada 3 selinder.

Kedudukan enjin jentera ini berada di tengah-tengah jentera dan kuasa dihantar ke tayar belakang. Layout begini dikenali sebagai “Mid-Engine, Rear Wheel Drive”

Kuasa yang dihamburkan oleh enjin dihantar ke kotak gear 5-kelajuan. Nisbah gear adalah seperti berikut :-

Gear 1 – 3.428
Gear 2 – 2.166
Gear 3 – 1.576
Gear 4 – 1.172
Gear 5 – 0.941
Gear Gostan – 4.3
Final Drive – 5.714

Laju tak jentera ini ? Laju lah juga. Kelajuan tertinggi adalah 135km/h dengan sekatan elektronik. Jika sekatan dibuang jentera ini mampu mencapai kelajuan tertinggi 165km/h.

Tak cukup laju ? Ini Kei Car. Bukan untuk laju semata-mata.

Jentera ini menerima set rim bersaiz 13 inci pada bahagian hadapan dan 14 inci pada bahagian belakang. Set rim ini dibaluti dengan tayar bersaiz 155/65R13 pada bahagian hadapan dan 165/60R14 pada bahagian belakang. Unik bukan ? lain saiz depan dan belakang. Sama macam NSX.

Bahagian dalaman jentera ini menerima roda stering daripada Momo. Bukan biasa-biasa. Di elakangnya pula terletak kluster meter yang menunjukkan halaju, RPM, suhu dan takat petrol.

Sistem Audio adalah dari jenama Gathers. Sepasang kerusi jentera ini menerima corak belang harimau. Sistem kawalan cermin pintu dikawal secara elektronik. Tak perlu kayuh, tekan “button” sahaja.

Bagi saya, bahagian dalaman jentera ini sangat kemas. Tidak terlalu serabut dengan komponen-komponen yang tidak perlu.

Jentera ini menerima pujian kerana kelincahannya. Manakan tidak, berat jentera ini hanyalah 760kg sahaja. Ditambah pula dengan set suspensi yang baik serta kedudukan enjin di tengah menjadikan jentera ini sangat stabil. Enjin yang resposif juga sangat membantu. Cukup segala ramuan untuk menjadikan jentera ini seronok dipandu.

Produksi jentera ini bermula pada 1991 dan berakhir pada 1996. Di dalam 6 tahun, jumlah produksi Honda Beat adalah lebih kurang 34,000 unit. Walaupun mendapat sambutan yang baik, namun keadaan tidak mengizinkan untuk terus memproduksikan model ini kerana pada ketika itu Jepun memasuki fasa krisis ekonomi. Akhirnya rekaan ini dijual kepada MG yang kemudiannya memperkenalkan MG F.

Sekarang, Honda Beat antara jentera yang diburu pengumpul kereta di seluruh dunia. Jentera ini mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri iaitu sebagai jentera terakhir yang diluluskan oleh Soichiro Honda sebelum beliau meninggal dunia.

Jentera ini juga menerima aksesori serta kit “Aftermarket” daripada Mugen. Bahkan bukan Mugen sahaja, banyak pengeluar barangan “Aftermarket” mengelurkan kit serta alat ganti untuk jentera ini.

Dalam dunia modifikasi pula, ada yang menggantikan enjin asal kepada enjin Suzuki Hayabusa. Macam-macam. Inilah yang berlaku apabila sesebuah jentera itu berstatus lagenda.

Google ads
Back to top button