Artikel Pilihan

SEJARAH JENTERA RALI JEPUN DI TOYOTA AUTOMOBILE MUSEUM – LAGI BEST DARI BUKU SEJARAH PAK MAUN

Toyota Automobile Museum kini sedang mengadakan pameran khusus tentang sejarah jentera-jentera rali yang berasal dari Jepun. Walaupun diadakan di bilik pameran milik Toyota mereka tidak bersifat asabiyah. Buktinya jentera-jentera rali keluaran syarikat lain turut dipamerkan untuk memeriahkan suasana hari raya. Maaf, memeriahkan pameran tersebut.

Sayangnya, warga asing belum boleh melawat pameran ini kerana sekatan perjalanan yang masih lagi sedang berjalan akibat pandemic Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lepas. Tak apa kita tengok je gambar-gambar ni dulu sambil kunyah-kunyah biskut raya yang dah masuk angin tu.

Pameran ini dinamakan Gekijou! 2.5 Dimensional Vroom: WRC Japanese Car Trajectory. Dahsyat bahasa Inggeris Jepun ni. 2.5 dalam tajuk itu bermaksud kereta-kereta yang dipamerkan diletakkan dalam bentuk diorama siap dengan latar belakang lukisan manga ala Initial D gitew. Nampak kreatif dan hidup kan? Gekijou pula ialah perkataan Jepun yang bermaksud ‘memecut ataupun bergerak laju’.

Walaupun jenama lain turut diundang sama tapi Toyota tetap menampilkan model-model mereka sebagai teraju utama. Itu sudah tentulah. Model yang bertindak sebagai penyambut tetamu ialah Toyota Celica TCT 1984. Ia merupakan sebuah jentera rali Group B yang memang sudah terbukti gagah sewaktu beraksi dalam perlumbaan. Buktinya ialah ia pernah memenangi perlumbaan Rali Safari sebanyak 3 kali dari 1984 hingga 1986.

Turut dipamerkan bersama TCT ialah Celica GT-Four ST165 yang membantu Toyota memenangi Rali Safari sekali lagi selain sebuah Toyota Corolla WRC 1997. Hebat-hebat penyambut tetamu yang berada di pintu masuk pun.

Secara teknikalnya Rali Safari ini sebenarnya salah satu pusingan dari calendar WRC tetapi ia cukup terkenal kerana cabaran dan kesukaran yang membezakannya daripada pusingan lain. Ia juga mempunyai jarak yang cukup panjang dan merentasi sempadan beberapa negara sekali gus menjadi medan yang sesuai untuk para pengeluar kereta dari Jepun membuktikan kehebatan masing-masing.

Nissan antaranya sudah menyertai Rali Safari sejak tahun 1963, lama sebelum wujudnya WRC. Mereka juga merupakan syarikat pengeluar Jepun pertama dari Jepun yang memenanginya pada tahun 1970 sebelum mengulang kembali kejayaan selama beberapa kali.

Untuk pameran ini Nissan telah meminjamkan dua buah jentera juara mereka dari Rali Safari 1973 (Datsun 240Z lengkap dengan calar balar perlumbaan) dan sebuah lagi Nissan Violet yang memenangi perlumbaan sama selama 4 tahun berturut-turut dari tahun 1979-82.

Mitsubishi tidak mahu ketinggalan dan menghantar dua wakil mereka. Sebuah Lancer 1600 GSR 1974 yang juga merupakan pemenang Rali Safari tahun tersebut dan model lejen mereka, Mitsubishi Evo VI. Malah ia sebenarnya merupakan replika jentera Rali Monte Carlo 2001 seperti yang digunakan oleh Tommi Makinen. Best-best, menitik air liur dah ni.

Mazda memang sentiasa fokus kepada perlumbaan tahan lasak ataupun endurance tetapi beberapa pelumba persendiran telah mengambil langkah untuk menyertai perlumbaan WRC dan salah seorang daripadanya ialah Hajime Nakagawa dan Osamu Morikawa. Mereka telah menyertai Rali Monte Carlo 1979 dan berjaya memenangi kelas yang disertai buat pertama kali dalam penampilan sulung mereka.

Daihatsu turut menyertai Rali Safari dan walaupun mereka tidak mempunyai rekod segemilang Nissan dan Toyota, tapi mereka sebenarnya pernah memenangi perlumbaan dalam kelas masing-masing sepanjang penyertaan.

Subaru, walaupun satu nama yang cukup besar dalam WRC sebenarnya bermula dengan agak lambat. Mereka berlumba secara tidak rasmi sejak 1970 tetapi mula menyertai WRC pada tahun 1980. Mula-mula mereka cuma fokus kepada Rali Safari sehinggalah 1988. Sebaik STi diasaskan pada tahun yang sama mereka tidak menoleh ke belakang lagi dan segera menyertai WRC.

Pada peringkat awal mereka memang kurang menyerlah sehinggalah tahun 1993 bila mereka buat pertama kalinya menjuarai Rali New Zealand dengan menggunakan model Legacy RS. Tahun yang sama juga mereka bergabung dengan syarikat pengeluar rokok State Express 555 dan menggunakan warna biru ikonik dengan rim berwarna emas.

Model yang paling menarik perhatian dari Subaru tentulah Impreza WRX yang berjaya merangkul tiga tahun kemenangan berturut dari tahun 1995-97.

Banyak lagi kereta lain sebenar dan kalau nak tulis satu-satu memang tak keluar beraya la PokYa tahun ni. Jadi tengok gambar pun okey kan?

Kredit Japanesenostalgiccars.com

Google ads
Back to top button