
SELAMAT TINGGAL GRIL HADAPAN
Selaku pengeluar kenderaan sedan elektrik, Tesla mencetuskan sensasi menerusi Model S baharu. Kali terakhir model berkenaan dikemas kini adalah pada 2012.
Tesla tampil dengan konsep yang futuristik. Model S nampaknya tidak lagi didatangkan dengan gril pada bahagian hadapan. Sesuai dengan peranannya sebagai sebuah jentera elektrik. Kerana yang pastinya jentera elektrik tidak memerlukan gril kerana tiada enjin.
Perubahan lain termasuk lampu hadapan yang didatangkan dengan ciri penuh LED adaptif. Model S dilengkapi bateri berkuasa 70 kilowatt. Model sedan itu mampu memecut dari sifar sehingga 100km/j dalam tempoh 2.8 saat sahaja!
Tesla turut menawarkan sistem Autopilot yang menawarkan keselesaan dan keselamatan pemanduan di lebuh raya dan bebas daripada tekanan. Motor, brek dan stereng akan dikawal secara digital bagi mengelak daripada berlakunya pelanggaran di hadapan dan sisi.
Sistem Autopilot juga membolehkan jentera mengimbas ruang parkir.
Soal mengecas, Model S dilengkapi pengecas berkapasiti 40 amps. Ini bagi menjamin operasi mengecas lebih cepat berbanding versi sebelumnya.
Tesla Model S akan dikeluarkan di kemudahan Tesla di Fremont, California dan tempahan akan dibuka pada Mei ini. Harga jualan dianggarkan sekitar US$71,000 (RM276,704) seunit.










