Artikel Pilihan

GWM G40GF1, ENJIIN V8 TURBO BERKEMBAR KITARAN MILLER

Pelancaran enjin V8 turbo berkembar baharu oleh Great Wall Motor (GWM) bukan sekadar pengenalan satu lagi enjin berkapasiti besar ke dalam portfolio mereka, tetapi satu langkah strategik yang jelas menunjukkan hala tuju jenama itu dalam pasaran global.

Dalam era di mana kebanyakan pengeluar automotif sedang beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik GWM mengambil pendekatan berbeza, menggabungkannya dengan sistem hibrid berprestasi tinggi untuk menghasilkan keseimbangan antara kuasa, kecekapan dan imej premium.

Enjin dengan kod G40GF1 ini merupakan unit 4.0 liter V8 turbo berkembar yang dibangunkan dengan konfigurasi “hot-in V”, di mana turbocharger ditempatkan di tengah-tengah sudut V silinder. Rekabentuk ini menjadikan enjin lebih kompak, meningkatkan respons turbo, serta membantu pengurusan haba yang lebih efisien.

Tambahan pula, penggunaan kitaran Miller menunjukkan fokus GWM terhadap kecekapan bahan api, membuktikan bahawa enjin ini direka dari awal sebagai sebahagian daripada ekosistem hibrid bukannya sekadar enjin pembakaran dalam sahaja.

Dari segi prestasi, enjin ini dianggarkan menghasilkan lebih 500 kuasa kuda dan sekitar 800 Nm tork. Namun, potensi sebenar hanya terserlah apabila digabungkan dengan sistem elektrifikasi GWM samaada HEV atau PHEV, di mana output keseluruhan boleh mencecah sekitar 1,000 kuasa kuda bagi aplikasi berprestasi tinggi.

Ini meletakkan GWM dalam liga yang sama dengan hypercar moden, sekali gus membuka pintu kepada pembangunan supercar hibrid yang mampu mencabar model seperti Ferrari SF90 Stradale dari segi prestasi dan teknologi. Enjin ini juga boleh dipasang pada SUV mewah GWM

Apa yang menjadikan langkah ini lebih menarik adalah rasional di sebalik pembangunan enjin V8 tersebut. Di pasaran tertentu seperti Timur Tengah, enjin V8 masih dianggap sebagai simbol status dan kemewahan. Kenderaan elektrik, walaupun canggih, masih belum mampu menggantikan persepsi ini sepenuhnya dalam segmen SUV mewah.

GWM jelas memahami realiti ini dan melihat V8 sebagai komponen penting untuk menembusi pasaran premium global. Dalam konteks ini, enjin tersebut bukan sekadar sumber kuasa, tetapi juga alat pembinaan imej jenama.

Pada masa yang sama, GWM tidak meninggalkan arah aliran elektrifikasi. Strategi sebenar mereka adalah untuk menjadi peneraju dalam teknologi hibrid melalui sistem seperti Hi4 dan Hi4-T. Dalam konfigurasi ini, kenderaan boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dalam keadaan biasa, manakala enjin V8 hanya diaktifkan apabila diperlukan sama ada untuk pecutan maksimum atau beban tinggi seperti off-road dan towing.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi juga memberikan pengalaman pemanduan yang unik dengan gabungan kuasa segera dari motor elektrik dan karakter agresif enjin V8.

Apa yang dipamerkan di booth turut mengukuhkan lagi aspirasi GWM untuk bermain di tahap tertinggi industri. Struktur “carbon fibre monocoque” atau carbon tub yang ditunjukkan adalah teknologi yang biasanya hanya ditemui pada supercar jenama seperti McLaren dan Ferrari. Penggunaan struktur ini memberikan kekuatan tinggi dengan berat minimum, sekali gus meningkatkan prestasi dan keselamatan.

Komponen karbon ini juga membantu mengurangkan berat putaran, meningkatkan respons drivetrain dan mengurangkan getaran, sesuatu yang biasanya hanya terdapat pada kenderaan berprestasi tinggi. Ini menandakan bahawa GWM bukan sekadar mengejar angka kuasa, tetapi turut memberi perhatian kepada keseluruhan pengalaman pemanduan.

Dari sudut aplikasi, enjin V8 ini dijangka akan digunakan dalam beberapa model utama. Antaranya ialah SUV flagship seperti Tank 800, yang akan menjadi model paling mewah dalam barisan GWM, serta kemungkinan naik taraf kepada Tank 700 pada masa hadapan.

Model-model ini dijangka menggabungkan keupayaan off-road dengan tahap kemewahan yang lebih tinggi, sekali gus menyasarkan pasaran premium yang sebelum ini didominasi oleh jenama Jepun dan Eropah.

Dalam masa yang sama, GWM juga sedang membangunkan sebuah supercar hibrid berasaskan enjin ini, dengan sasaran prestasi sekitar 0–100 km/j dalam masa kurang daripada tiga saat dan kuasa menghampiri 1,000 hp. Ini merupakan langkah berani yang menunjukkan bahawa pengeluar China kini bukan sahaja mahu bersaing dalam segmen massa, tetapi juga bersedia untuk mencabar dominasi jenama supercar global.

Google ads
Back to top button