Artikel Pilihan

GWM Hi4, Hi4-T & Hi4-Z: STRATEGI HIBRID PHEV & AWD

Dalam dunia automotif hari ini, kebanyakan pengeluar sedang berlumba ke arah elektrifikasi penuh. Namun Great Wall Motor (GWM) mengambil pendekatan yang sedikit berbeza dengan membina ekosistem hybrid yang sangat luas dan spesifik mengikut kegunaan.

Hasilnya GWM telah membina tiga seni bina utama Hi4, Hi4-T, dan Hi4-Z manakala sistem Hi2 dikekalkan untuk SUV urban. Walaupun nampak macam variasi biasa, sebenarnya ketiga-tiga sistem ini dibina dengan falsafah yang berbeza dengan memberi penekanan kepada kecekapan harian, off-road hardcore, sampai ke prestasi ekstrem.

Hi4: PHEV AWD Pintar Dengan Kecekapan 2WD

Hi4 adalah sistem paling banyak digunakan dalam lineup GWM dan ini adalah sistem Hybrid Intelligent AWD pertama di dunia yang direka untuk memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan. Konsep utama Hi4 sangat ialah memberikan rasa pemanduan AWD, tetapi dengan penggunaan tenaga seperti 2WD.

Ini dicapai melalui gabungan enjin 1.5T DHE, transmisi DHT 2kelajuan dengan kecekapan sehingga 97.4%, bateri dengan kapasiti 1.07kWh serta motor elektrik berkuasa antara 180PS hingga 300 PS. Dalam penggunaan di dunia sebenar, sistem ini mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 30% berbanding AWD konvensional.

Pada masa sama, ia masih mengekalkan agihan berat 50:50 yang membantu kestabilan pemanduan. Dari segi prestasi, sistem ini menawarkan pecutan 0-100 km/j boleh dicapai sekitar 5.9 saat. Tambahan pula, sistem kawalan tork pintar (iTVC) membolehkan pengagihan kuasa berdasarkan keadaan permukaan jalan, sama ada di lebuh raya atau permukaan licin.

Hi4-T: Hibrid Off-Road dengan PHEV

Sistem Hi4-T dibina khas untuk dunia off-road dan masih mengekalkan DNA mekanikal tradisional 4WD, tetapi dipertingkat dengan kuasa elektrik. Hi4-T menggunakan enjin 3.0 V6 Turbo bersama transmisi 9HAT (9-speed Hybrid Automatic Transmission), serta 3 sistem Transfer Case (TOD) yang boleh menggandakan tork sehingga 2.64 kali dalam mod 4L.

Apa yang membezakan Hi4-T dengan sistem lain ialah ia masih mengekalkan triple differential lock — depan, tengah dan belakang. Ini merupakan inovasi yang semakin jarang dalam dunia elektrifikasi, tetapi sangat penting untuk off-road serius.

Dengan nisbah crawl setinggi 57.2:1 dan tork maksimum sehingga 24,000 Nm, sistem ini direka untuk menawan laluan ekstrem samaada laluan batu besar, lumpur tebal, hingga cerun curam. Walaupun fokusnya pada ketahanan, Hi4-T masih menawarkan kelebihan hybrid seperti penjimatan bahan api sekitar 30% dan keupayaan pemanduan elektrik sejauh lebih 100 km (PHEV).

Hi4-Z: Sistem Hibrid Prestasi Tinggi

Jika Hi4-T adalah kasar dan lasak, maka Hi4-Z pula adalah versi paling canggih dan berprestasi tinggi dalam keluarga ini. Sistem ini menggunakan konfigurasi dual motor, sistem decoupling AWD dan multi-gear power split, dipadankan dengan transmisi hybrid longitudinal 3 kelajuan yang sangat kompak

Ia boleh digabungkan dengan menggunakan enjin 4 silinder 2.0T atau enjin V6 3.0T, dengan output sistem mencecah 715 kW (972 PS) dan tork sehingga 1,375 Nm. Dalam aspek prestasi ia menawarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat sahaja, dan yang lebih menarik, sistem ini direka untuk mengekalkan prestasi walaupun selepas beberapa kali pecutan berturut-turut.

Sistem hibrid Hi4Z juga menyokong pengecasan pantas di mana 15 minit sudah cukup untuk tambahan 120 km jarak elektrik, dan jumlah jarak keseluruhan boleh melebihi 1,100 km (WLTC) jika dicaj dan diisi dengan bahan api penuh.

Berbeza dengan Hi4T, sistem Hi4Z menggunakan bateri dengan kapasiti sehingga 59kWh. Bateri ini mencukupi untuk pemanduan elektrik sepenuhnya pada jarak 190km mengikut standard CLTC. Apa yang menarik tentang strategi GWM ialah mereka tidak cuba menghasilkan satu sistem untuk semua. Sebaliknya, mereka membina tiga pendekatan berbeza:

  • Hi4 – sistem PHEV AWD untuk kecekapan dan penggunaan harian
  • Hi4-T- sistem PHEV untuk off-road hardcore
  • Hi4-Z – sistem PHEV untuk prestasi tinggi dengan jarak EV yang lebih jauh
  • Hi2- sistem HEV untuk kegunaan Urban, pacuan 2 roda sahaj

Ini menunjukkan GWM memahami bahawa dunia automotif tidak semestinya bergantung pada kereta elektrik sepenuhnya dalam penggunaan harian. Sesetengah pengguna memerlukan kenderaan cekap tenaga, SUV lasak, dan ada yang mahukan kuasa maksimum.

Dan dengan pendekatan ini, GWM sebenarnya sedang meletakkan diri sebagai “Hybrid Specialist”, bukan sekadar pengeluar EV biasa. Malah GWM juga kekal menghasilkan EV, terlibat dalam pembangunan enjin V8 turbo baru, enjin diesel 3000cc baru malah menghasilkan motosikal berkuasa tinggi dengan enjin boxer 8 silinder

Google ads
Back to top button