Buletin

SEMPADAN NEGARA DIBUKA BERMULA 1 APRIL. RAKYAT DIBENAR KEMBALI MENGEMBARA

Malaysia bakal beralih kepada fasa endemik dalam pengurusan Covid-19 bermula 1 April depan setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengumuman ke fasa endemik itu dibuat sebagai satu strategi untuk membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan normal selepas dua tahun berperang dengan virus pembunuh itu.

“Negara bakal memasuki fasa endemik bermula 1 April depan, namun begitu pelitup muka masih diwajibkan kepada setiap individu yang berada di negara ini.

“Semua rakyat turut dibenarkan untuk merentas negeri tanpa ada syarat status lengkap vaksinasi, rakyat yang lengkap dua dos atau yang tidak ada vaksin turut dibenarkan untuk merentas negeri,” ujarnya.

Sementara itu, pintu sempadan negara juga turut dibuka pada 1 April nanti, rakyat Malaysia dibenarkan untuk mengembara ke mana-mana negara pilihan mereka.

Katanya, bagi pengembara luar yang lengkap status vaksinasi mereka dan ingin memasuki pintu negara tiada lagi tempoh kuarantin ditetapkan.

Namun begitu, mereka perlu melakukan pemeriksaan RT-PCR dua hari sebelum berlepas ke Malaysia serta melakukan pemeriksaan RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas memasuki negara ini. 

Pengumuman pembukaan sempadan negara itu dilihat mampu memulihkan semula sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 terutama sektor pelancongan dan perdagangan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyambut baik pengumuman itu sebagai satu langkah positif dalam proses pemulihan negara. Keputusan tersebut dibuat selari dengan syor MPN pada 8 Februari lalu untuk pembukaan semula sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib.

“Ketika ini, Malaysia memainkan peranan penting dalam rangkaian bekalan dunia dan penutupan pintu sempadan yang berpanjangan akan menjejaskan posisi dan kebolehan daya saing Malaysia di peringkat perdagangan antarabangsa.

“Insya-Allah, Malaysia akan terus berada pada landasan tepat untuk pemulihan ekonomi negara yang diunjurkan berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus tahun ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berharap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan terutama di pintu sempadan negara tidak membebankan dan senang difahami orang ramai. – KOSMO! ONLINE, Utusan Online 

Google ads
Back to top button