VOLVO SECRET SAFETY DIVISION IALAH PENYIASAT KEMALANGAN TERBAIK DI DUNIA – HEBAT IDEA VOLVO NI
Rasanya semua dah tahu yang Volvo memang komited untuk menghasilkan kereta paling selamat. Inilah syarikat yang sanggup melepaskan hak milik paten tali pinggang keledar tiga point yang kita gunakan untuk menyelamatkan jutaan nyawa manusia dalam kemalangan. Volvo sentiasa meneroka ciri keselamatan baharu dan menetapkan sasaran tiada yang akan meninggal dunia dalam Volvo akibat kemalangan satu hari nanti.
Sasaran tersebut masih berjalan dan berkembang dari keselamatan penumpang sehinggalah ke pejalan kaki. Mereka mahu mengelakkan kemalangan seboleh mungkin dan mempunyai satu jabatan rahsia yang ditubuhkan dan mempunyai pengetahuan tentang kemalangan yang melebihi pihak polis dan jabatan kerajaan berkaitan yang lain.
Ini dijelaskan oleh pakar keselamatan Volvo, Mattias Robertson kepada Carbuzz dalam satu temubual tentang jabatan khas tersebut. Jika kemalangan jalan raya berlaku dalam jarak 45 minit perjalanan dengan HQ Volvo di Gothenburg, Sweden, pasukan penganalisis kemalangan Volvo akan bergegas ke tempat kejadian untuk menyiasat. Sama seperti siasatan pihak polis, mereka turut akan memproses tempat kejadian dan mengkaji pelbagai elemen dari keadaan jalan sehinggalah kepada sikap pemandu sendiri.
Mereka akan melakukan siasatan sepantas mungkin dan kemudian model Volvo yang terlibat dengan kemalangan akan dibawa balik ke makmal ujian untuk dianalisis secara lebih mendalam.
Matlamatnya mudah sahaja, jika penyebab kemalangan diketahui sudah tentu ada cara untuk menghalang kemalangan dari berlaku. Jika Volvo mampu menghalang kemalangan dari berlaku, tiada pejalan kaki akan dilanggar sebuah Volvo dan tiada penumpang Volvo akan mengalami kecederaan.
Dalam kebanyakan kemalangan rasa seorang pun pemandu yang akan mengakui kesalahan masing-masing. Siapa yang nak kehilangan hak tuntutan insuran dan dikenakan saman akibat memandu dengan cuai. Dalam dunia sebenar tiada ganjaran yang akan diberikan kerana mengakui kesalahan. Itu cuma wujud di tadika. Ramai yang lebih suka menyalahkan pengguna jalan raya yang lain, tumpahan pelincir dan binatang.
Volvo bagaimanapun akan mendekati pemandu terlibat dan menyatakan sebarang maklumat yang diberikan kepada mereka adalah rahsia dan tidak akan didedahkan kepada pihak polis ataupun insuran. Mereka hanya mahu menjadikan kereta lebih selamat untuk semua. Taktik ini biasanya menjadi dan pemandu akan memberikan butiran sebenar tanpa bimbang akan dikenakan tindakan undang-undang.
Itu cuma salah satu cara Volvo mendapatkan informasi. Mereka turut mendapatkan laporan daripada NHTSA, laporan polis, laporan pihak insuran dan pelbagai sumber lagi. Namun kadang-kala ia penuh dengan penipuan dan mereka mesti membuat siasatan sendiri.
Daripada sekadar mendapatkan maklumat daripada patung perlanggaran dalam ujian perlanggaran, Volvo bertindak lebih aktif dengan mendapatkan laporan kesihatan daripada mereka-mereka yang terlibat sendiri dalam kemalangan. Sudah tentu ia dilakukan dengan kebenaran tuan punya badan.
Data-data ujian ini kemudian dimasukkan ke dalam simulasi perlanggaran untuk mewujudkan situasi sebenar bagi mencari penyelesaian terbaik. Sampai macam tu sekali kan usaha Volvo. Bukan main-main ni.