
SEORANG LAGI MANGSA KEMALANGAN BABITKAN HONDA JAZZ MENINGGAL DUNIA
Waris kepada pelajar yang maut akibat dipercayai dirempuh kereta Honda Jazz di persimpangan lampu isyarat Matahari Heights di sini pada Khamis lalu, akan berjuang habis-habisan bagi menuntut keadilan terhadap mangsa.
Aisar Azim Abdullah, 17, yang cedera parah menjadi mangsa terbaharu dan ketiga nahas itu, apabila disahkan meninggal dunia jam 7.23 malam tadi ketika dalam rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, selepas empat hari bertarung nyawa.
Ibunya, Nurha’afza Salwa Hazizan, 41, berkata sudah ada peguam yang menawarkan khidmat kepada keluarganya secara percuma dan dia sudah bersetuju.
Beliau berkata, meskipun reda dengan ketentuan Ilahi, namun tindakan mengikut undang-undang perlu diambil demi keadilan kepada anaknya dan dua lagi mangsa yang maut dalam nahas itu.

“Kami akan ambil tindakan, lawan sehabis mungkin,” katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Maqbarak Salimah, Taman Zaitun Indah, dekat Sikamat, di sini, tengah malam tadi.
Terdahulu, jenazah mangsa ketiga itu selamat dikebumikan kira-kira jam 12.40 tengah malam, bersebelahan kubur dua rakannya yang maut dalam kemalangan berkenaan.
Nurha’afza Salwa berkata, sejak malam Rabu lalu dia sudah bersedia untuk menerima perkhabaran duka mengenai perkembangan anak ketiga daripada 10 beradik itu ketika dirawat di hospital.
“Memang doktor sudah beritahu yang Alang bergantung kepada mesin oksigen dan ubat. Saya difahamkan otak dan badannya sebenarnya sudah ‘tiada’.
“Jadi sebelum doktor memutuskan untuk mencabut bantuan mesin oksigen, saya bercakap dengan dia. Saya halalkan makan minum dan susu, ampunkan dosa dia walaupun apa pun yang terjadi.
“Selepas disahkan tiada, saya tatap wajahnya. Arwah seolah-olah sedang tidur, wajah dia tenang dan bersih walaupun terdapat kesan calar pada mukanya,” katanya.
Sementara itu, abang mangsa, Mohamad Aiman Abdullah, 20, berkata, kebiasaannya adiknya itu antara orang yang paling teruja untuk menyambut Aidilfitri, namun kali ini agak berbeza.
“Alang beritahu tak mahu beli baju raya dan hanya mahu duduk di rumah, nak tidur. Alang minta saya beli baju raya sendiri, pergi beraya sendiri,” katanya yang agak rapat dengan Aisar Azim.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu, Aisar Azim dikatakan menaiki motosikal jenis Honda Vario bersama remaja lelaki berusia 13 tahun manakala dua lagi rakannya menaiki motosikal Modenas Kriss.
Difahamkan, ketika melalui persimpangan lampu isyarat, dua motosikal itu dirempuh dari arah kanan oleh sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu lelaki berusia 18 tahun bersama penumpang lelaki berusia 17 tahun.
Kereta berkenaan dikatakan gagal berhenti ketika lampu isyarat merah. Akibat rempuhan, penunggang dan pembonceng Modenas Kriss maut di lokasi kejadian, Aisar Azim dan seorang lagi rakan parah, manakala pemandu serta penumpang Honda Jazz turut parah. – Berita Harian
- BACA: TESLA MODEL Y BAHARU TERIMA 200,000 PRA-PESANAN DI CHINA
- BACA: INI ADALAH SEBAB XIAOMI BERJAYA MENJADI PENGELUAR KERETA SEMENTARA APPLE GAGAL
- BACA: POLIS SIASAT VIDEO TULAR INDIVIDU PANDU KERETA SECARA BERBAHAYA DI GENTING HIGHLANDS
- BACA: ASCEND AIRWAYS BAKAL BEROPERASI DI MALAYSIA PENGHUJUNG TAHUN INI