Pandu Uji

PANDU UJI: C 350 e AMG LINE – BOLEH JADI PUNCA KITA KEMBALI SUKA KEPADA SEDAN

Sebut sahaja C-Class, hampir semua tahu bahawa ia merupakan model penting daripada Mercedes-Benz yang terus mampu menarik perhatian pelanggan biarpun di zaman kebanyakan orang mahu memiliki sebuah SUV. 

Berbeza dengan sedan segmen D yang masa depannya kelihatan kian malap, sedan segmen C seperti C-Class masih mempunyai peminat yang ramai. Maka, tidak hairanlah jika pengeluar kenderaan legasi seperti Mercedes-Benz masih menghasilkan sedan berkenaan, lengkap bersama ciri dan teknologi terkini. 

Untuk pasaran Malaysia, C-Class generasi kelima itu ditawarkan dalam beberapa varian iaitu C 200, C 350 e AMG Line, Mercedes-AMG C 43 4MATIC dan yang paling berkuasa Mercedes-AMG C 63  S E PERFORMANCE F1 Edition. Harganya pula bermula RM288,000 hinggalah mencecah RM960,000! 

Baru-baru ini, saya berpeluang memandu uji varian C 350 e AMG Line selama beberapa hari dengan niat utamanya adalah untuk menghantar anak ke universiti di Batu Pahat, Johor. 

Seperti yang tertera pada namanya, jentara ini dengan kod nama W206 itu merupakan model Plug-in Hybrid (PHEV) yang menggantikan varian C300 AMG Line.

Mula diperkenalkan ke pasaran pada Februari 2024, C 350 e AMG Line ialah model pemasangan tempatan (CKD) di kilang Mercedes-Benz di Pekan, Pahang. Ia boleh dimiliki pada harga bermula RM338,888 (di atas jalan tidak termasuk insurans). 

Melihat pada bahagian luarannya, jentera berkenaan terus mengekalkan rekaan C-Class yang elegan dan tidak berlebih-lebih. Penampilan hadapan diserlahkan dengan gril bersama kemasan bintang, logo Mercedes-Benz bersaiz besar, bampar hadapan, bulge pada hud hadapan, sepasang lampu utama yang agak nipis bersama ciri Adaptive Highbeam Assist Plus dan bampar yang cukup sporty. 

Jentera itu didatangkan dengan rim lima jejari AMG bersaiz 18 inci. Belakang pula nampak ringkas dengan sepasang lampu LED, ekzos berkembar dan air difusser pada bahagian bawah bampar. Oh ya, varian tersebut didatangkan dengan Night Packege, sebab itulah ia dilengkapi dengan kemasan berwarna hitam misalnya pada perumah cermin sisi. 

Ruang kabin C 350 e memaparkan kemasan mewah dengan material kulit ARTICO buatan manusia berkualiti tinggi berwarna hitam, kemasan dan butang kawalan sensitif sentuhan. Papan pemuka menggabungkan skrin digital yang memaparkan maklumat pemanduan dengan kemasan material yang sangat premium. 

Sistem infotainmennya terdiri daripada Sistem MBUX (Mercedes-Benz User Experience) yang mudah untuk dikendalikan. Ia merangkumi skrin bersaiz 11.9 inci dengan sistem navigasi, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Paling menarik, pastinya sistem suara Burmester yang menawarkan kualiti bunyi terbaik. Skrin infotainmen yang besar memudahkan pengguna untuk mengakses aplikasi serta fungsi kenderaan. 

Tempat duduk yang dibalut kulit itu bukan sahaja selesa, malah cukup ergonomik untuk memberikan sokongan yang sangat baik dalam pemanduan jarak jauh atau pemanduan harian. Ciri penyejukan dan pemanasan tempat duduk juga disediakan untuk lebih keselesaan. 

Untuk makluman, tempat duduk pemandu hadir dengan fungsi kinetik. Maksudnya, ia mampu membuatkan perjalanan darah anda lebih lancar. Sebab itulah pemandu tidak akan berasa penat walaupun memandu dalam tempoh yang lama.

Memandu C 350 e AMG Line sememangnya cukup mengujakan. Ini kerana ia dipasang dengan enjin turbo bersesaran 2.0 liter yang mampu menjana kuasa mencecah 204PS pada 6,100rpm dan tork puncak 320Nm yang boleh dicapai pada 2,000 hingga 4,000rpm.

Apabila digabungkan dengan motor elektrik, kuasa itu meningkat kepada 308hp dan tork setinggi 550Nm. Kuasa itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik 9 kelajuan 9G-Tronic yang memacu roda belakang. 

Keterujaan menikmati kuasa tersebut ditingkatkan dengan sistem PHEV yang terdiri daripada pek bateri lithium-ion berkapasiti 25.4-kWh. Menyokong pengecasan AC sehingga 11kW, bateri itu memerlukan masa selama dua jam untuk dicaj penuh. Tak perlu bimbang tentang penjimatan bahan api kerana C 350 e AMG Line boleh bergerak dalam mode EV sepenuhnya sejauh 117 kilometer (WLTP), dengan kelajuan dihadkan kepada 140km/j.

Biarpun begitu, jarak tersebut sangat bergantung kepada berapa berat kaki kanan anda. Jika ditekan sepanjang masa, tenaga bateri dilihat boleh turun dengan agak cepat. 

Dinamik pemanduan dan keselesaan di dalam sedan itu ditingkatkan menerusi sistem suspensi udara jenis ‘self-levelling’ pada gandar belakang yang turut berfungsi untuk menampung berat bateri. C 350 e menjadi satu-satunya varian dalam keluarga W206 C-Class yang menerima suspensi berkenaan. 

Tidak perlu bimbang tentang aspek keselamatan kerana jentera itu didatangkan dengan pakej Pre-Safe, merangkumi sistem keselamatan ADAS yang lengkap. Ini termasuklah Distronic, Active Blind Spot Assist, Active Brake Assist serta Parking package yang terdiri daripada ciri kamera under, Active Parking Assist dengan Parktronic dan kamera 360 darjah. 

Jadi, bagi mereka yang masih belum percaya dengan EV dan tidak mahu melayan perasaan ‘range anxiety’ sebuah PHEV seperti Mercedes-Benz C 350 e sememangnya cukup sesuai untuk anda. 

GALERI

Google ads
Back to top button