Buletin

SIC BELUM ADA PERANCANGAN ANJUR F1 DALAM MASA TERDEKAT

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak mempunyai sebarang perancangan menganjurkan saingan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata pihaknya merasakan ia bukan waktu tepat untuk menganjurkan semula perlumbaan itu mengambil kira usaha kerajaan ketika ini dalam membantu rakyat membina semula kehidupan ekoran pandemik COVID-19.

Beliau berkata SIC juga perlu mempertimbangkan beberapa perkara terutama dari segi bajet dan sokongan daripada pelbagai pihak sekiranya promoter sukan permotoran itu ditawarkan peluang untuk menganjurkan perlumbaan berkenaan pada masa hadapan.

“Pertimbangan seharusnya kita tengok secara menyeluruh, bagaimana F1 dapat memberi keuntungan bukan sahaja kepada syarikat, malah keuntungan kepada Malaysia dari aspek penjenamaan, keupayaan untuk memberi peluang pekerjaan, pembangunan bakat dan lain-lain.

“Jadi, bila kita bayar hak penganjuran (F1) itu yang agak tinggi, pulangan yang masuk itu harus tinggi secara keseluruhannya, bukan sahaja dari aspek SIC,” katanya pada sesi pertemuan bersama media tempatan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Azhan Shafriman berkata sekiranya terdapat tawaran daripada pihak F1, selain sokongan daripada kerajaan dan sektor swasta, SIC akan menyokong penuh usaha bagi membawa saingan perlumbaan itu kembali ke Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata kerajaan mengalu-alukan bantuan pihak swasta untuk memberi sumbangan sebagai usaha membawa kembali penganjuran F1 ke negara ini.

Ahmad Faizal berkata ini kerana pihaknya dimaklumkan usaha untuk membawa saingan perlumbaan itu melibatkan kos yang amat tinggi iaitu melebihi RM200 juta.

Kali terakhir F1 dianjurkan di SIC adalah pada 2017 iaitu bagi edisi ke-19 sejak kali pertama dianjurkan di litar itu pada 1999.

Ia menyaksikan kedatangan 110,604 penonton dalam tempoh tiga hari, sekali gus melepasi jumlah yang disasarkan iaitu lebih 102,000 penonton dan daripada jumlah itu, seramai 56,015 penonton hadir pada hari perlumbaan.

Pada edisi terakhir di SIC itu, pemandu pasukan Red Bull, Max Verstappen menjuarai perlumbaan mengatasi Lewis Hamilton daripada pasukan Mercedes AMG Petronas di tempat kedua sementara Daniel Ricciardo (Red Bull) ketiga. – AWANI

Google ads
Back to top button