" "
Buletin

SKODA YETI – INILAH SUV PERTAMA DARI SKODA

Dalam segmen SUV, Skoda Auto cukup dikenali dengan pelbagai nama yang bunyi seperti orang berasal dari Kokdiang seperti Karoq, Enyaq, Kushaq, Kamiq, Kodiaq dan juga Teloq (ok yang ini tipu). Tapi tahukah anda bahawa Skoda sebenarnya telah mengeluarkan model SUV pertama mereka pada tahun 2009 dengan nama Skoda Yeti.

Model SUV konsep Yeti ini telah pun diperkenalkan sewaktu Geneva Motor Show 2005 dan mula membuat kemunculan rasminya ketika Geneva Motor Show 2009 dengan kilang pemasangan di Kvasiny, Republik  Czech.

Rekaan Skoda Yeti ini dibina berdasarkan platform Skoda Octavia generasi kedua dengan menampilkan rekaan yang ringkas tetapi cukup praktikal untuk sebuah model SUV kompak. Walau pun Skoda Yeti ini mempunyai jarak kelegaan bumi kira – kira 180 mm, namun ianya dikenali dengan pengendalian yang selamat dan handal. Ianya didatangkan dengan pilihan 4×2 dan juga 4×4 bagi kegunaan jalan off-road,

Rekaan gril, bampar dan lampu utama mungkin kelihatan sedikit mirip dengan tipikal model Skoda Octavia ketika itu. Akan tetapi Skoda Yeti ini telah diberikan tambahan lampu bulat yang akan berfungsi sebagai lampu tambahan ketika melewati laluan off-road yang hanya diterangi bulan malam hari.

Kemasan bahan plastik hitam telah dipasang pada bahagian bawah sisi badan bagi mengelakkan ianya terkena kesan calar balar sekali gus memberikan sakit hati kepada pemiliknya begitu juga dengan pelindung bawah kenderaan pada bahagian hadapan dan belakang turut dipasang.

Bahagian kabin juga menampilkan ciri ruang dalaman yang luas untuk keselesaan. Barisan kedua tempat duduk telah dinaikkan 2 cm untuk memberikan kesan pelantar sekali gus memberikan pemandangan yang sedikit jelas buat penumpang belakang.

Malah Skoda juga telah memperkenalkan sistem VarioFlex untuk tempat duduk belakang bagi membolehkan ketiga – tiganya dilipat atau pun dibawah keluar secara berasingan untuk memberikan pelbagai konfigurasi yang diperlukan penumpang.

Trenkuasa pula Skoda Yeti ini ditawarkan dengan pilihan seperti enjin petrol dan juga diesel. Untuk varian asas, enjin petrol 1.2 liter ditawarkan disamping enjin yang bersesaran 1.8 liter untuk mendapatkan lebihan kuasa. Enjin 2.0 liter TDI CR DPF untuk varian yang lebih berkuasa serta didatangkan dengan sistem pacuan empat roda juga ditawarkan sebagai model yang paling berkuasa.

Kalau anda berasa Skoda Yeti ini sejenis yang kodi mungkin telahan tersebut silap. Tahukah anda bahawa sehingga ke tarikh akhir tempoh produksi model ini pada tahun 2018, sejumlah 683,603 Skoda Yeti telah dihasilkan meliputi kilang pemasangan yang juga terdapat di India, Russia, Kazakhstan, Ukraine dan juga China.

Skoda kemudiannya memutuskan untuk tidak lagi mahu menggunakan plat nama Yeti, mungkin disebabkan pereka SUV mereka yang terkini berasai dari Changlun. Maka bermula 2018, Skoda memutuskan untuk menggunakan plat nama Karoq sebagai pengganti kepada Skoda Yeti ini.

BACA : ŠKODA KAROQ SportLine, ENJIN 2.0 TSI EVO, SIAP KERUSI SPORT!

BACA : SKODA FABIA MONTE CARLO BAHARU – LEBIH LAWA DAN LEBIH LAJU

Google ads

B K

Back to top button